Firma berurusan dengan senjata api tidak perlu bergantung kepada kontrak kerajaan untuk perniagaan, kata sumber industri.

Menurutnya, firma berkenaan juga menampung keperluan pelanggan tertentu yang mendapatkan senjata api, terutamanya untuk tujuan perlindungan.

"Terdapat keperluan tertentu yang mesti dipenuhi sebelum seseorang diberi kuasa untuk memiliki senjata api dengan lesen. Semua pemohon akan disaring," katanya kepada Malaysiakini.

"Ia proses yang sangat ketat, dengan senarai semakan yang panjang. Lesen diberikan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah masing-masing," katanya.

Lagi pun, katanya dalam kes ahli perniagaan, kerabat diraja atau mereka yang berkedudukan dan mempunyai kuasa, individu ini kerap membeli lebih daripada satu senjata api untuk kegunaan anggota keselamatan mereka.

Firma senjata api, katanya, juga melakukan servis ke atas senjata, kerja-kerja pembaikan dan alat ganti bahagian dalam kes-kes kerosakan dengan bayaran lumayan kerana adalah perdagangan khusus.

Sumber yang enggan namanya disiarkan, berkata demikian sebagai mengulas kontroversi syarikat senjata api yang dimiliki oleh anak Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid, Isnin lalu mengakui firma senjata api yang dikaitkan dengan anak perempuannya itu memperolehi lesen perniagaan sebelum beliau dilantik menjadi ketua polis negara.

Beliau juga mendedahkan bahawa beliau melarang syarikat anaknya itu daripada membida sebarang tender senjata api berkaitan kerajaan atau polis.

Isu berkenaan pertama kali didedahkan oleh laman web Sarawak Report minggu lalu.

Ahli jawatankuasa pusat PKR Latheefa Koya pada satu forum di Kuala Lumpur, malam semalam sempena memperingati kematian Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati, enam tahun lalu menimbulkan soalan jika anak Khalid tidak mempunyai kontrak untuk menjual senjata api kepada kerajaan, siapa yang membeli daripadanya?

Sementara itu, sumber lain yang juga rapat dengan firma berkenaan, menafikan dakwaan bahawa mereka menjalankan perniagaan yang menguntungkan.

Sumber itu berkata, akaun syarikat akan membuktikan perkara ini.

"Jika seseorang meneliti akaun dua tahun sebelumnya, boleh dilihat bahawa prestasi syarikat itu tidak membanggakan," katanya.

Ketika dihubungi kemudian, Khalid enggan mengulas kenyataan Latheefa.

"Saya tidak mahu bercakap mengenai perkara ini. Seperti yang saya katakan sebelum ini, komen saya boleh menjejaskan siasatan. Biarkan siasatan menentukan sama ada terdapat sebarang salah laku.

"Pembangkang juga dialu-alukan untuk memeriksa isu ini melalui rangkaian mereka," katanya.