Calon DAP yakin Tiong tahu pasal 1MDB, mahu PAC siasat
Calon DAP DUN Dudong, Yap Hoi Liong percaya lawannya dari BN yang juga seorang jutawan, Tiong Thai King mempunyai kaitan dan mengetahui sesuatu tentang firma pelaburan negara 1MDB.
Ia ekoran kenyataan yang dibuat Tiong dalam temubual bersama akhbar China Press yang dilihat 'meragukan', katanya.
Sehubungan itu, Yap meminta agar Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menjalankan siasatan terhadap Tiong ekoran kenyataannya.
"Berdasarkan kenyataan dia dalam China Press itu, dia perlu beritahu masyarakat tentang 1MDB, ke mana duit itu pergi. Dia MP Lanang pada masa itu.
"Berdasarkan kenyataan dia, saya sangat percaya dia mempunyai kelayakan untuk jelaskan pada rakyat apa yang berlaku pada 1MDB.
"Saya gesa supaya PAC untuk jalankan inkuiri dan siasatan terhadap Tiong kerana kenyataannya yang dilihat mengetahui sesuatu tentang 1MDB," katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP Sibu hari ini.
Tiong dalam temu bual dengan akhbar China Press memberitahu bahawa 1MDB berlaku kerana pembangkang gagal dalam tugasnya memantau kerajaan.
"Mereka (pembangkang) gagal memantau kerajaan dan menghalang semua perkara ini daripada berlaku.
"Jika mereka telah gagal dalam tugas, mengapa kita perlu terus mengundi mereka?" soalnya dipetik akhbar itu.
Tiong dalam temubualnya turut menggesa pengundi Sarawak menyokong BN supaya ia mendapat mandat lebih besar untuk membangunkan negara.
Sementara itu, Pengarah Kempen Pilihan Raya DAP bagi DUN Sibu, Oscar Ling turut mempertikaikan apakah tindakan yang dibuat Tiong ketika menjadi anggota parlimen Lanang.
"Menyalahkan pembangkang dalam isu 1MDB adalah merepek (ridiculous). Isu 1MDB bermula pada 2009 dan ketika 2010 Tiong masih anggota parlimen Lanang.
"Jadi apa yang dia buat ketika itu? Adakah dia terlibat dengan 1MDB? Sebab itu dia tidak bercakap apa-apa semasa menjadi anggota parlimen? Ia sangat merepek untuk menyalahkan pembangkang tidak buat kerja," katanya.

