Pembantu taska di Bangi nafi anak hilang
Seorang pembantu Taska di Bangi menafikan kehilangan anaknya yang berusia dua setengah tahun semalam seperti yang diviral dalam laman sosial.
Ibu tunggal berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Hazirah, 20, berkata penyebaran berita palsu di Facebook itu dipercayai dilakukan individu tidak bertanggungjawab.
"Saya menafikan hal tersebut kerana kehilangan anak saya adalah rekaan oleh individu terbabit. Saya tidak pasti apa motif individu berkenaan berbuat demikian.
"Saya minta kerjasama semua rakan Facebook agar tolong hentikan viral ini. Kes ini tidak sama sekali berlaku. Saya berharap viral ini berhenti tersebar secepat mungkin," katanya kepada Bernama.
Menurut Hazirah, beliau menyedari penyebaran viral berkenaan setelah menerima gambar skrin daripada kawannya melalui aplikasi WhatApp yang dihantar kepadanya.
Katanya status berkenaan turut memuat naik gambarnya yang sedang mendukung anak perempuannya itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan anaknya agar menghubunginya.
Beliau berkata beliau telah membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Othman Nanyan mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut.
- Bernama

