Muhammad menjanjikan terbaik, Zeti sambut baik
Datuk Muhammad Ibrahim hari ini menerima pelantikan beliau sebagai Gabenor Bank Negara ke-8 dengan rasa rendah diri dan akan berusaha melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin.
Dalam kenyataannya, Muhammad berkata, pada masa yang sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepadanya.
"Bagi saya, ini merupakan peluang untuk saya terus berkhidmat kepada negara.
"Saya akan berusaha melaksanakan tanggungjawab sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia dengan sebaik mungkin," ujar beliau.
Bank Negara bertanggungjawab untuk mengekalkan kestabilan monetari dan kewangan di samping terus memberikan tumpuan pada agenda strategik selain berusaha menyumbang kepada masa depan yang lebih cerah.
Mengulas lanjut mengenai pelantikan tersebut yang telah sekian lama dinanti-nanti rakyat dan pasaran, Muhammad berkata, beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.
"Terima Kasih Dr Zeti atas kepimpinannya yang cemerlang serta sumbangannya yang amat besar kepada Bank Negara dan Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Dr Zeti mengalu-alukan pelantikan Muhammad yang diyakini memberikan kesan yang positif kepada negara.
"Sebagai salah seorang ahli pasukan dasar di Bank Negara, beliau akan dapat meneruskan kesinambungan dan kepastian yang begitu diperlukan dalam tempoh semasa yang amat tidak menentu ini.
"Saya yakin sepenuhnya dengan kebolehan dan keupayaan beliau untuk memacu Bank Negara Malaysia mengorak langkah ke masa hadapan," jelasnya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, pasaran mengalu-alukan pelantikan Muhammad yang sangat berpengalaman dalam industri perbankan sejak menyertai bank pusat itu sejak lebih 30 tahun yang lalu.
Pelantikan Muhammad dilihat sebagai suatu langkah yang positif, kata ahli ekonomi perbankan peribadi CIMB, Song Seng Wun.
"Pasaran memerlukan ketua bank pusat yang berpengalaman untuk mengambil alih tempat Dr Zeti bagi memastikan tahap konsisten dalam dasar-dasar kewangan," katanya kepada Bernama.

