Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
13 tahanan di penjara Sg Buloh didakwa bunuh bekas peninju
Diterbitkan:  Apr 27, 2016 6:00 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Seramai 13 tahanan reman dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Shah Alam hari ini atas tuduhan membunuh bekas peninju negara, G Ramkumar di Penjara Sungai Buloh, dua minggu lepas.

Ramkumar, pemenang pingat perak dalam kejohanan tinju kategori 69kg di temasya Sukan SEA Myanmar 2013, ditahan berhubung satu kes culik di Klang.

Kesemua tertuduh adalah Muhamad Mustaqim Anas, 24; Mohd Hisham Mohd Daud, 33; Muhammad Faizal Mahemod, 33; Mohd Basiran Mohd Bharuddin, 27; Ahmad Hanafi Ahmad @ Sufaat, 47; Bariq Ashlami Abdullah, 24; Sahrol Afindi Sahanudin, 25; Mohd Iszaruddin Ismail, 25; Mohd Rajis Abdul Rahim, 33; Mohd Zaki Shaari, 30;

Noor Fadzlee Zizan, 24; Sophian Dahlan, 34; dan Noridil Fitri Nordin, 31.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Ramkumar, 25, di Sel 51 dan Aras 2, Wing 3, Blok Abadi 2, Penjara Sungai Buloh dekat Shah Alam, antara pukul 12.45 tengah hari hingga pukul 1 tengah hari 16 April lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kesemua lelaki itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Farah Azura Mohd Saad menetapkan 26 Mei depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, laporan kimia dan ujian DNA.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurulhuda Ramli sementara kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang tahanan lelaki maut ditikam dalam satu pergaduhan melibatkan dua kumpulan di Penjara Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Rozi Jidin dilaporkan berkata siasatan awal mendapati mangsa maut ditikam suspek menggunakan senjata tajam di bahagian belakang badan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS