PBB tolak tuntutan Israel ke atas Bukit Golan
GLOBAL Majlis Keselamatan PBB menolak dakwaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa Bukit Golan di Syria akan "selama-lamanya" kekal di bawah kawalan Israel.
Majlis 15 anggota bersetuju Selasa lalu bahawa status Golan, yang dirampas Israel dari Syria pada tahun 1967 "tidak berubah", kata Duta China, Liu Jieyi yang memegang jawatan presiden majlis itu bulan ini.
Liu mengingatkan resolusi 1981 yang menyatakan bahawa keputusan Israel mengenakan undang-undang, bidang kuasa dan pentadbiran dalam menduduki Bukit Golan di Syria adalah tidak sah dan tanpa sebarang kesan undang-undang antarabangsa".
Liu berkata anggota majlis "melahirkan kebimbangan mendalam" atas kenyataan Netanyahu sejak awal bulan ini bahawa "Bukit Golan akan kekal di tangan Israel untuk selama-lamanya."
Duta Israel di PBB, Danny Danon bagaimanapun mengeluarkan kenyataan menolak keputusan majlis itu.
"Keputusan mengadakan mesyuarat pada topik ini sepenuhnya mengabaikan realiti di Timur Tengah," katanya.
"Walaupun beribu orang sedang dibunuh di Syria, dan berjuta rakyat telah menjadi pelarian, Majlis Keselamatan telah memilih untuk memberi tumpuan kepada Israel, satu-satunya demokrasi sebenar di Timur Tengah.
"Ia adalah malang bahawa pihak yang berminat ini cuba untuk menggunakan majlis bagi kritikan yang tidak adil terhadap Israel."
Pengumuman Netanyahu pada 17 April itu sempena sesi kabinet Israel pertama di Golan sejak kawasan itu dirampas dari Syria dalam perang 1967 dan diperluaskan pada tahun 1981.
Rampasan Israel di Bukit Golan tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

