Tujuh buah kereta termasuk empat daripadanya rosak teruk selepas sebuah lori yang hilang kawalan melanggar kesemua kenderaan berkenaan di lampu isyarat di Simpang Pangkal Kalong, Kok Lanas hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Penolong Penguasa Bomba Machang Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10 pagi tadi dipercayai akibat kegagalan sistem brek lori terbabit yang dalam perjalanan dari Machang ke Kota Bharu.

"Lori yang membawa muatan batu untuk menurap jalan itu dikatakan gagal menghentikan kenderaan dan terus melanggar semua kenderaan di hadapannya yang ketika itu sedang menunggu lampu isyarat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Nik Ahmad Afsham berkata kemalangan itu membabitkan kerosakan dua buah Myvi, dua buah Proton Wira serta masing-masing sebuah Proton Waja, Proton Iswara dan teksi jenis Mercedes-Benz.

Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua tujuh mangsa yang cedera ringan telah dikeluarkan dari kenderaan masing-masing oleh orang awam.

Katanya pihak bomba kemudiannya bertindak membersihkan sisa minyak petrol di atas jalan raya selain memastikan tiada punca yang boleh menyebabkan kebakaran.

- Bernama