Pemilik tanah di Kampung Baru bimbang ditipu lagi
Pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur bimbang mereka akan ditipu lagi oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan dan berkepentingan dari pembangunan semula Kampung Baru yang akan dilaksanakan oleh kerajaan.
Pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur bimbang mereka akan ditipu lagi oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan dan berkepentingan dari pembangunan semula Kampung Baru yang akan dilaksanakan oleh kerajaan.
Mereka mendakwa, pembangunan Kampung Baru bukan baru, malah pada sekitar awal tahun 1990-an, kerajaan pusat telah mengumumkan Pembangunan Kampung Baru akan dilaksanakan oleh Koperasi Kijang Emas Berhad, koperasi milik penuh Bumiputera.
Seorang pemilik tanah di situ, Roshilah Ismail berkata, penduduk tidak mahu apa yang berlaku sebelum ini, berulang lagi meskipun kerajaan memberi jaminan kepentingan mereka terbela.
"Saya mempunyai pengalaman yang amat pahit kerana beberapa pemimpin Umno menggunakan isu pembangunan Kampung Baru untuk membeli tanah penduduk dengan harga yang terlalu murah," katanya.
Beliau mendakwa dua pemimpin Umno yang berpengaruh di Kuala Lumpur itu, telah menipu keluarganya dengan membeli tanah dengan murah atas atasan untuk pembangunan semula Kampung Baru.
"Setahu saya harga tanah di kawasan ini tinggi. Harga tanah di kawasan sekitar ialah RM500 sekaki persegi. Tetapi saya diberitahu tanah Kampung Baru bernilai RM100 sekaki persegi," katanya.
Menurutnya, kadar harga tersebut diberitahu sendiri oleh Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Astaman Aziz dalam satu perjumpaan dengan penduduk sebelum ini.
Tidak setuju serah tanah
"Katanya, harga tanah Kampung Baru murah kerana ia tanah Rezab Melayu...harga itu tidak boleh dirunding lagi," kata Roshilah dalam majlis dialog dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kampung Baru, malam tadi.
Perjumpaan dan majlis dialog anjuran PAS Wilayah Persekutuan turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub serta kira-kira 200 penduduk Kampung Baru.
Roshilah mendakwa penduduk Kampung Baru tidak mendapat maklumat mengenai pembangunan semula yang mahu dilaksanakan itu kerana menurutnya Jawatankuasa Penduduk Kampung Baru tidak pernah mendapatkan persetujuan daripada pemilik untuk menyerahkan tanah mereka untuk dimajukan.
Beliau berkata, MAS lembaga yang bertanggungjawab terhadap 224 hektar tanah di Kampung baru telah membuat laporan kepada pihak berkuasa mengatakan bahawa penduduk Kampung Baru telah setuju menjual tanah mereka kepada pemaju.
MAS ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 1900 di bawah Enakmen Tanah 1897 dan kini dipengerusikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur.
"Sedangkan MAS ini tidak pernah datang berjumpa pemilik tanah. Saya rasa mereka memandai-mandai membuat laporan tersebut," kata Roshilah.
Menurutnya, beliau tidak tahu siapa memberi kuasa kepada MAS tetapi beliau berkata MAS mempunyai banyak kuasa dalam pembangunan semula Kampung Baru.
Seorang lagi penduduk, Ibrahim Hassan berkata, beliau bimbang, pembangunan besar-besaran Kampung Baru akan menyebabkan syarikat bukan Melayu menguasai ekonomi di kawasan tersebut.
PAS sanggup majukan
"Kalau syarikat gergasi miliki usahawan bukan Melayu umpamanya membina dan membeli bangunan perniagaan dan pejabat di Kampung Baru, apakah nasib orang Melayu di kampung tersebut?." tanyanya.
Sementara itu, Hadi berkata, PAS mempunyai kepakaran untuk memajukan Kampung Baru tanpa mengurangkan kepentingan dan identiti mereka di tempat tersebut.
Katanya, PAS mempunyai ahli ekonomi, arkitek, jurutera dan perancang bandar yang boleh merangka dan merancang pembangunan semula Kampung Baru secara bersepadu dan tersusun.
"Dalam merangka pembangunan, identiti Kampung Baru perlu dikekalkan dan pembangunan itu pula perlu memberi manfaat kepada mereka," katanya.
Hadi berkata, PAS juga akan mendapatkan pelan pembangunan asal Kampung Baru untuk mendapatkan gambaran sebenar pembangunan tersebut dan mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima pelan cadangan dari PAS.
Beliau berkata, PAS akan membawa isu pembangunan Kampung Baru ke sidang Dewan Rakyat, dan jika perlu menggerakkan massa untuk membantu mereka.
"PAS juga akan menyediakan khidmat guaman untuk membantu pemilik tanah Kampung Baru yang tidak berpuashati dengan pembayaran pampasan bagi tanah mereka," katanya.
Sementara itu Salahuddin berkata, Pemuda PAS akan mengadakan seminar khas mengenai Kampung Baru bagi mengenalpasti masalah sebenar di situ.
Beliau berkata, seminar tersebut yang akan melibatkan penduduk Kampung Baru dan pakar profesional PAS, akan diadakan tidak lama lagi
Beliau juga meminta penduduk Kampung Baru bersatu dalam menghadapi isu pembangunan semula ini supaya mereka tidak mudah dibeli oleh pemaju dan pihak-pihak lain yang mempunyai kepentingan.

