Rakyat Melaka digesa berjimat 'panjangkan hayat' air
Bekalan air yang dimiliki Melaka tidak akan mampu bertahan sehingga September sekiranya cuaca panas berlarutan sehingga tempoh itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.
Sehubungan itu, beliau berkata rakyat Melaka perlu melaksanakan langkah menjimatkan penggunaan air mulai sekarang bagi 'memanjangkan hayat' bekalan air di negeri ini.
"Mungkin kita ambil langkah alternatif seperti bina telaga tiub namun paling penting kita semua mesti jimat air mulai sekarang. Usaha ini perlu kerjasama semua, selain langkah itu kita hanya mampu berdoa," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri semalam.
Pada 22 April lepas, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau dilaporkan berkata Malaysia dijangka mengalami masalah bekalan air sehingga September berikutan cuaca panas dialami sekarang diramal berterusan sehingga tempoh itu.
Berdasarkan laporan Badan Kawal Selia Air Melaka semalam, paras air di Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah pada tahap 40.6 peratus, Empangan Jus di Jasin (71 peratus) dan Empangan Asahan di Jasin (83.6 peratus).
Idris berkata 200 juta gelen air sehari sedang dipam dari Empangan Jus ke Empangan Durian Tunggal bagi menstabilkan bekalan air yang menghampiri tahap kritikal di empangan tersebut.
Beliau berkata hujan sekejap-sekejap tiga hari ini meningkatkan bekalan air kira-kira 10 peratus, bagaimanapun sekiranya cuaca panas berlarutan bekalan air di Melaka sekarang hanya mampu bertahan sehingga dua minggu sebelum apa-apa tindakan termasuk catuan air dilaksanakan.
Katanya kerajaan negeri juga menimbang untuk memberikan ganjaran wang tunai kepada mereka yang melaporkan perbuatan mencemarkan sungai dan bekalan air di negeri ini.
- Bernama

