Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus mengutuk dan menyiasat dari mana datangnya poster-poster hantu yang kuat menfitnah DAP, kata calon parti itu bagi kerusi dewan undangan negeri Mambong, Sanjan Anak Daik.

DAP, ujar beliau, cuba dan berusaha untuk bertanding secara adil namun ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menjana keuntungan politik peribadi.

"Sementara DAP menghormati semangat demokrasi dan pilihanraya bebas, cetakan dan pemasangan poster-poster hantu ini boleh ditafsirkan sebagai cubaan jahat untuk memburuk-burukkan kami.

"Namun kami percaya rakyat Sarawak tahu apa yang DAP telah buat untuk mereka terutama menerusi program Impian Sarawak terutama di Mambong sendiri.

"Kami telah menyiapkan 11 projek dalam masa tiga tahun, termasuk membina jambatan, jalan raya, bekalan air, kem pendidikan dan kesihatan," katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan sejak penamaan calon pihaknya menerima 32 laporan polis dan 23 darinya sedang disiasat.

Manakala laporan selebihnya berkaitan salah laku dalam Akta Pilihan Raya yang akan disiasat oleh SPR.

“Antara kes yang disiasat adalah rosakkan poster, turunkan bendera, ada kes libatkan pecah tingkap kereta curi wang, satu kes bergaduh dan lain-lain kita rujukkan kepada SPR kerana kesalahan di bawah pilihan raya,” kata Khalid.

Mengulas lanjut, Sanjan menambah, keikhlasan DAP dalam memperjuangkan nasib rakyat telah terbukti dan pihak akan terus berbuat demikian untuk banyak tahun yang mendatang.

"Pasukan kempen saya akan membuat laporan kepada SPR mengenai hal ini dan harap ia dapat disiasat dengan serius," ujarnya lagi.