Polis menahan enam orang termasuk dua wakil rakyat DAP yang menghadiri majlis pelancaran kempen pulihkan semula pilihanraya kerajaan tempatan anjuran parti itu, yang didakwa diadakan tanpa kebenaran, di Dataran Merdeka pagi ini.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sitiawan, Ngeh Koo Ham; dan pemimpin DAP negeri, Teg Hock Ke dan Ning San, penyelidik parti itu, party researcher Liew Chin Tong dan ahli parti, Liew Wan Hong.

Mereka telah dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk memberi kenyataan. Mereka ditahan selama empat jam, sebelum dibebaskan pada jam 3.10 petang dengan ikatjamin polis. Mereka diarah hadir semula di balai tersebut pada 21 Mac ini.

Mereka ditahan ketika Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng sedang mengadakan sidang akhbar, selepas gagal memujuk polis supaya membenarkan mereka melancarkan kempen tersebut.

Pemimpin parti itu, Tan Kok Wai, Fong Po Kuan, Loke Siew Fook dan Ronnie Liu adalah antara 70 orang yang hadir di majlis pelancaran tersebut. Ia diadakan sempena ulangtahun penggantungan pilihanraya kerajaan tempatan pada 1965.

Menurut Liu, pemimpin parti itu telah memaklumkan kepada Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Ahmad Baharin mengenai majlis pelancaran itu dan dibenarkan berbuat demikian, walaupun permit polis tidak dikeluarkan. Antara aturcara majlis tersebut ialah ucapan dan pelepasan belon.

"Oleh kerana ada kebenaran lisan, maka kami mengadakan program tersebut...mungkin pihak polis telah berubah fikiran hari ini," kata Liu kepada malaysiakini ketika dihubungi kemudiannya.

Liu yang juga setiausaha biro antarabangsa DAP, mendakwa lebih 200 anggota polis, termasuk anggota unit simpanan persekutuan, dan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berada di situ.

Tangkapan tidak ikut prosidur

Beliau juga mendakwa penangkapan enam pemimpin DAP itu tidak mengikut prosidur kerana pihak polis tidak memberi tiga amaran supaya bersurai, seperti yang diwajibkan, sebelum mengambil tindakan tersebut.

Sebaliknya, katanya, mereka terbabit terus ditangkap selepas amaran pertama diberikan.

Dalam risalah yang diedarkan sewaktu majlis pelancaran tersebut, DAP menggesa orang ramai supaya turut serta menyokong usaha mengembalikan proses "undi ketiga" dengan memulihkan pilihanraya di peringkat kerajaan tempatan.

Menurut parti itu, pihak kerajaan tempatan sering gagal dalam memberi perkhidmatan dan kemudahan asas yang sempurna, sehingga mengakibatkan berlakunya masalah banjir, kesesakan lalulintas dan meningkatnya kes demam denggi.

"Kita adalah pembayar cukai. Oleh itu, kita mempunyai hak untuk memilih siapakah yang akan mewakili kita dan bagaimanapun wang kutipan cukai dibelanjakan," kata parti itu lagi.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ahli Parlimen Kota Baharu dari Barisan Nasional (BN), Datuk Zaid Ibrahim, berkata walaupun ia merupakan inisiatif DAP, tetapi beliau merasakan majoriti ahli (kerajaan tempatan) wajar dipilih kerana masalah di peringkat tempatan difahami benar oleh masyarakat setempat.

"Sistem penyampaian akan lebih baik dan mengurangkan kejadian rasuah kerana ahli majlis perlu mendapatkan mandat," katanya.

Zaid yang juga seorang peguam yang mengendalikan kes-kes kepentingan awam di peringkat negeri dan persekutuan, turut mencadangkan supaya sebahagian ahli majlis dipilih dan sebahagian lagi dilantik.

Pilihan akar umbi

Manakala Presiden Persatuan Perlindungan Alam sekitar Malaysia (EPSM) Manogaran Maniam, berkata pihaknya menyokong Agenda Tempatan 21 yang dipersetujui di Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992.

"Apa yang terbaik untuk masyarakat dan pembangunan, patut datang daripada akar umbi... dan pilihanraya kerajaan tempatan sangat penting kepada keseluruhan proses itu," katanya sambil menambah, EPSM menyokong agenda itu dengan mengadakan bengkel mengenainya sejak lebih 10 tahun lalu.

Empat puluh tahun lalu, pilihanraya kerajaan tempatan yang dijadual pada tahun 1965 dan 1966 digantung mengikut Peraturan Darurat (Penggantung Pilihanraya Kerajaan Tempatan) 1965.

"Sebab rasmi ialah konfrantasi (dengan Indonesia), bermakna Malaysia terancam dan oleh itu pilihanraya tidak sesuai diadakan," kata Profesor Madya Dr Goh Ban Lee dari Universiti Sains Malaysia.

Sejarah pemilihan PBT

Setelah Konfrantasi berakhir, pilihanraya kerajaan tempatan tidak diadakan semula, walaupun Suruhanjaya Diraja yang diketuai Senator Datuk Athi Nahappan pada tahun 1968 mencadangkan supaya ia diadakan.

Dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 akhirnya menggantikan pemilihan ahli majlis kepada pelantikan mereka.

Menurut Dr Goh lagi, pilihanraya pertama PBT membabitkan Majlis Perbandaran Georgetown pada Disember 1956 dan menjelang tahun 1965, kira-kira 3,000 daripada 4,223 ahli majlis di 373 PBT di seluruh negara, dipilih menerusi pilihanraya.

Manakala pensyarah sejarah Universiti Malaya Ahmad Kamal Ariffin bagaimanapun berkata sebab sebenar penggantungan itu ialah masalah salah pengurusan dalam pihak berkuasa kerajaan tempatan (PBT), bilangan ahli pembangkang yang kuat di sesetengah PBT (Georgetown, Melaka dan Ipoh) dan masalah melaksanakan pilihanraya di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai mendakwa, sejak pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan, banyak kes orang ramai, pembayar cukai, merasakan mereka ditipu, tidak dilayani secara adil dan didiskriminasi oleh PBT.

"Penduduk merasakan PBT gagal menjalankan tugas untuk menjaga kebajikan penduduk tempatan kerana mereka tidak perlu berhadapan dengan rakyat setiap beberapa tahun bagi menilai prestasi dan rekod mereka," katanya yang juga ahli jawatankuasa DAP pusat.

Tan berkata kempen pilihanraya kerajaan tempatan akan diteruskan hingga akhir tahun, dengan menganjurkan perbincangan umum dan mesyuarat dengan persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).

DAP turut menyerahkan memorandum kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting pada 26 Januari dan dimaklumkan bahawa Perdana Menteri sahaja yang mempunyai kuasa untuk membuat sebarang perubahan.

Tan berkata DAP berharap dapat bertemu Perdana Menteri pada akhir kempen berkenaan.