Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perubahan automotif China: Proton terlepas pandang lagi?

Dasar automotif China yang memihak kepada kenderaan elektrik (EV) dan pandu sendiri dijangka mencetuskan gangguan besar kepada pasaran automotif dunia bermula 2018.

Ia bukan sekadar teknologi dan harta intelek, ia lebih kepada saiz dan kemakmuran pasaran selain dasar kerajaan yang mampu mendorong industri automotif China ke kedudukan 'podium' dalam perlumbaan bagi kenderaan elektrik pandu sendiri.

Ini boleh dilihat di Pameran Automobil Beijing Ke 14 yang berlangsung hingga 4 Mei ini.

Pembuat kereta di China yang kebanyakan daripada mereka mempunyai usahasama dengan pembuat kereta di seluruh dunia memperagakan pelbagai kereta elektrik konsep.

Ia termasuk yang boleh didapati di pasaran seperti kenderaan Plug-in Hybrid EV (PHEV) serta kenderaan elektrik sepenuhnya untuk mengambil kesempatan daripada kelebihan yang diberikan bagi kenderaan dengan wasap yang kurang dan EV oleh bandar-bandar raya mega.

Di peringkat kebangsaan, China akan melaksanakan undang-undang tegas berhubung wasap kenderaaan untuk mengurangkan pencemaran karbon daripada kenderaan menjelang 2017.

Pengeluaran dan penjualan kenderaan elektrik China telah lebih daripada berganda tahun ini berbanding 300,000 buah pada tahun lepas, kata Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China Miao Wei, pada minggu lepas, menurut laporan agensi berita Reuters.

Perubahan yang boleh mencetuskan gangguan dalam industri automotif dunia akan diterajui oleh usahawan Teknologi Maklumat ataupun daripada teknologi bateri atau storan tenaga.

Mereka seperti Elon Musk daripada Tesla, dan juga usahawan-usahawan Cina seperti Jia Yueting daripada LeEco, usahawan bilionair barangan elektrik rumah dan penstriman video.

Jia menjadi perhatian media dunia apabila beliau melabur dalam syarikat EV baru di Silicon Valley, iaitu Faraday Future, dan membeli ladang seluas 400 hektar di Nevada sebagai sebahagian daripada pelaburan USD1 bilion (RM3.9 bilion) untuk mengilang kereta elektrik masa depan.

Beliau melancarkan kereta konsep Faraday FFZero1 di Pameran Automobil Beijing.

"Tesla, syarikat terkemuka dan yang mengangkat industri kereta dunia ke era EV," kata Jia dalam satu temubual di ibu pejabat syarikatnya Le Holdings Co, atau LeEco di Beijing.

"Kami bagaimanapun bukan sahaja membuat kereta. Kami menganggap kereta sebagai peranti komunikasi mudahalih beroda empat. Pada hakikatnya ia tidak berbeza daripada telefon bimbit atau tablet. Kami harap dapat mendahului Tesla dan membawa industri itu ke satu era baru," kata Jia dalam satu laporan agensi berita.

Perubahan yang menimbulkan gangguan dalam industri automotif dunia sudah pastinya bukan daripada Nissan-Renault atau GM kerana pembuat kereta ini membuat pelaburan besar dalam teknologi pengeluaran enjin konvensional.

Jadi apa pula kedudukan industri automotif Malaysia, dengan jumlah pengeluaran industri sebanyak 670,000 pada tahun lepas dalam senario perubahan yang menimbulkan gangguan dalam industri kereta global yang mengeluarkan 68 juta kenderaan penumpang setahun?

Selain China, Malaysia adalah satu-satunya negara dengan dasar automotif kebangsaan yang khusus menyenaraikan EV sebagai satu kelas kenderaan yang akan beruntung daripada dasar kerajaan itu.

Tujuan Dasar Automotif Negara adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau menerusi kenderaan yang cekap daripada segi tenaga termasuk kenderaan EV.

Dalam aspek ini, terdapat sedikit kejayaan.

Volvo menghantar juru elektrik terkemukanya dan jurutera hibrid, Lennart Stegland, dari Gothenburg, Sweden untuk menguruskan pemasangan kenderaan PHEViaitu SUV XC 90 di kilang Shah Alam.

Model ini dijangka sampai kepada pembeli di Malaysia pada bila-bila masa sekarang, sebelum ia diedarkan ke seluruh ASEAN.

Mercedes-Benz pula memasang model premium S-Class dalam bentuk versi hibrid, iaitu S400 Hibrid, di kilang DRB-Hicom di Pekan, Pahang.

BMW Malaysia pula mengumumkan hasratnya untuk mengeksport kenderaan EEV 3-Series dan 7-Series yang dipasang di sini ke Vietnam dan Filipina.

Bagi menembusi pasaran besar dengan PHEV dan EV berharga rendah, Malaysia mungkin perlu menggunakan dasar automotifnya untuk memikat pembuat kereta di China yang mahu memasarkan kenderaan cekap tenaga mereka ke pasaran ASEAN.

Ini satu perkembangan yang menarik memandangkan Malaysia melantik satu pasukan penyelia bagi Proton dan pengerusi serta dua daripada CEO sektor swasta mempunyai latar belakang IT dan teknologi.

Satu perubahaan yang pengurusan Proton terlepas pandang ialah pembukaan pasaran oleh China serta perubahan yang menimbulkan gangguan dalam pasaran automobil China.

Kali ini, perubahan itu juga didorong oleh syarikat-syarikat IT seperti Google, Apple, Alibaba, Baidu, TenCent dan Xiaomi khasnya dalam pengeluaran kereta pandu sendiri.

Sekurang-kurangnya seorang pegawai kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang mengikuti penyusunan semula Proton arif akan industri automobil China yang kini menuju ke era elektrifikasi.

Amerika Syarikat memang dominan dalam teknologi pandu sendiri tetapi China mungkin menjadi tempat pertama di mana kereta ini akan berada di atas jalan. Ini memandangkan kerajaan China telah bersedia menggubal undang-undang membenarkan kereta pandu sendiri.

Diharapkan Amerika Syarikat dan Eropah tidak akan menghabiskan masa yang lama mempertikaikan sama ada kenderaan pandu sendiri perlu mempunyai stereng atau tidak.

Laporan AP minggu lepas memetik jurucakap Agensi Keselamatan Trafik Lebuhraya Gordon Trowbridge sebagai berkata terdapat sedikit sahaja halangan perundangan bagi kereta pandu sendiri dengan kawalan manusia.

Bagaimanapun, kemungkinan wujud halangan lebih besar bagi kenderaan pandu sendiri tanpa stereng atau pedal brek. Menurut Google kereta pandu sendirinya tidak akan mempunyai stereng.

Sebanyak 147 kenderaan tenaga baru diperagakan termasuk daripada Tesla dan BYD, tahun ini pada pameran tahunan itu yang diadakan berselang-seli antara Beijing dan Shanghai.

Antara kenderaan yang menarik perhatian termasuk: Pembuat kereta milik kerajaan, FAW (First Automobile Works), menunjukkan kereta elektrik konsepnya iaitu SUV PHEV, yang dinamakan Red Flag H7.

Chery, antara pengeluar persendirian kereta di China dan yang paling berkembang pesat, berganding dengan Jaguar Land Rover yang mungkin memberikan input kepada kenderaan PHEV RFV 2030.

BAIC (Beijing Automotive Industry Corporation), syarikat pengeluar kereta tertua di China (bermula pada 1953) dan pembuat Beijing Jeep (dilesenkan oleh AMC, pemilik Jeep pada masa itu) memperkenalkan dua buah EV.

Kereta konsep glamour itu adalah kereta EV super, iaitu Arcfox 7 dengan kuasa kuda 603 hp, kelajuan 0-60 bsj dalam 3.0 saat dan kelajuan tertinggi sebanyak 186kph.

Kereta konsep yang menjemukan adalah EX200, iaitu versi EV model popular SUV.

BYD menunjukkan EV300 miliknya, kemungkinan EV paling praktikal di Pameran Automobil Beijing. Ia boleh meliputi jarak lebih jauh (300km) berbanding versi awal yang dicuba sebagai teksi bandaraya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS