Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz: Fitnah konco-konco PM untuk alih perhatian

ULASAN Pada hari ini, Selasa 3 Mei, 2016 saya telah menyaman dan membuat tuntutan ganti rugi terhadap Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, setiausaha akhbar kepada perdana menteri atas beberapa kenyataannya yang bersifat fitnah terhadap Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan saya.

Melalui empat kenyataan, Tengku Sariffuddin telah memberi gambaran seolah-olah saya adalah seorang yang gila kuasa, hanya mempunyai motif untuk menjadi perdana menteri tanpa sebarang pertimbangan terhadap kepentingan rakyat, sanggup bersubahat dengan Mahathir dan Muhyiddin semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan dan Datuk Seri Mohd Najib Razak daripada jawatan perdana menteri supaya saya sendiri boleh mengambil alih jawatan tersebut.

Kenyataan itu juga menggambarkan setiap tindakan politik saya termasuk dalam menawarkan diri bertanding dalam pemilihan Umno adalah untuk tujuan menjadi presiden Umno yang dikatakan menjamin jawatan perdana menteri.

Saya dengan sekeras-kerasnya menyangkal dakwaan tidak berasas dan fitnah Tengku Sariffuddin tersebut.

Tidak pernah berlaku sebarang konspirasi antara mana-mana pihak dengan saya untuk menjatuhkan Najib untuk tujuan menaikkan Muhyiddin sebagai perdana menteri dengan syarat beliau membimbing saya untuk menggantikannya kemudian.

Tuduhan liar Tengku Sariffuddin bahawa inilah niat sebenar Mahathir juga tidak masuk akal kerana jika ia benar, tentu sekali Mahathir boleh terus melantik saya atau membantu dalam karier politik saya sewaktu beliau masih presiden Umno dan perdana menteri selama 22 tahun.

Tak munasabah

Tidak munasabah beliau hanya mempunyai niat tersebut setelah bersara dari jawatan tertinggi parti dan negara selama 13 tahun.

Juga tidak berasas tuduhan Tengku Sariffuddin bahawa saya bertanding jawatan naib presiden semata-mata untuk merealisasikan cita-cita saya yang satu, iaitu untuk menjadi presiden dan perdana menteri.

Umum mudah memahami bahawa terdapat tiga jawatan naib presiden Umno dan proses untuk naik sebagai timbalan presiden dan presiden perlu melalui pemilihan parti terdahulu.

Ini sekali gus menidakkan dakwaan bahawa kenaikan dari jawatan naib presiden kepada presiden itu suatu proses yang mudah dan automatik.

Juga, dakwaan Tengku Sariffuddin bahawa jawatan presiden Umno menjamin jawatan perdana menteri menunjukkan betapa ceteknya pemahaman beliau mengenai Perlembagaan Persekutuan.

Hanya anggota parlimen yang menikmati sokongan terbanyak dalam Dewan Rakyat yang boleh diangkat sebagai perdana menteri.

Taktik kotor

Tiada jaminan bahawa jawatan itu bersifat eksklusif kepada presiden Umno sahaja walaupun sehingga kini memang keenam-enam perdana menteri adalah juga presiden Umno.

Jangan pula didakwa oleh beliau bahawa saya tidak ingin melihat seseorang presiden Umno terus menyandang jawatan perdana menteri.

Jelas sekali, semua tuduhan-tuduhan dan kenyataan-kenyataan fitnah yang dilemparkan oleh pegawai-pegawai dan konco-konco Najib adalah tidak lain tidak bukan bertujuan untuk mengaburi mata dan mengalih perhatian rakyat dari penyelewengan yang melibatkan Najib melalui skandal 1MDB dan SRC International, dan kemasukan berbilion ringgit ke dalam akaun peribadinya.

Rakyat tidak akan terpedaya dengan taktik kotor ini.

Kenyataan-kenyataan jahat yang dibuat oleh orang-orang suruhan Najib terhadap pihak-pihak lain termasuk saya tidak akan melepaskan beliau dari bertanggungjawab terhadap segala kesalahan yang telah dilakukannya.

Saya bersama rakyat dalam menuntut agar beliau undur segera daripada jawatan perdana menteri.

Lihat Komen
ADS