Malaysiakini
BERITA

Mustafa beri gambaran positif, PAS mampu menang

Anne Muhammad

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Mei 2016, 12:54 pagi

Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali memberikan gambaran positif bahawa parti Islam itu mampu mencapai kemenangan pertama di Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Katanya, buat masa ini kempen parti itu yang mula memasuki fasa kedua minggu ini berjalan dengan lancar dan terdapat peningkatan sokongan rakyat Sarawak terhadap PAS

“Laporan induk persiapan terakhir pada hari Sabtu dari segi gerak kerja jentera pilihan raya berjalan lancar. Kita dapati mencapai kemajuan yang lebih.

“Alhamdulillah, telah meningkat dari sudut persediaan yang dibuat. Gambaran positif untuk capai kemenangan pertama di Sarawak,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PAS di Kuching malam tadi.

Katanya lagi, jentera parti akan terus bekerja kuat sehingga hari mengundi pada 7 Mei ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula membidas tindakan kerajaan negeri Sarawak yang disifatkannya sebagai tidak demokrasi kerana membuat sekatan terhadap petugas-petugas parti Islam itu untuk berkempen.

Katanya, ia kerana sebilangan petugas PAS dari Semenanjung hanya dibenarkan masuk sehingga 5 Mei bagi membantu kempen parti itu dalam pilihan raya negeri.

“Ada sekatan tempoh tinggal sehingga 5 Mei kepada petugas PAS. Tidak seharusnya begitu dalam konteks demokrasi.

“Tidak sepatutnya ada halangan kepada petugas, tempoh tinggal itu tidak sepatutnya dihadkan terutamanya ketika kempen pilihan raya negeri Sarawak,” katanya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata buat masa ini parti itu mempunyai petugas di kalangan anak tempatan dalam jumlah yang besar.

“Yang penting kita mempunyai petugas-petugas anak tempatan dan jumlah yang lebih besar,” katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.