Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saman Mukhriz bukti hujah setiausaha Najib berasas?
Diterbitkan:  May 4, 2016 3:46 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata, tindakan Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengambil tindakan undang-undang terhadapnya membuktikan dakwaan dikemukakan sebelum ini adalah benar.

Sambil mempertahankan kenyataan dibuat sebelum ini, Tengku Sariffuddin berkata, dia akan menunggu tarikh ditetapkan untuk bertemu Mukhriz di mahkamah.

"Tindakan undang-undang (diambil Mukhriz) menunjukkan dakwaan saya berasas. Dapat difahami bahawa Mukhriz tertekan secara emosi kerana untuk kali pertama bapanya gagal mendapat apa yang dimahukan," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Mukhriz memfailkan saman terhadap Tengku Sariffuddin kerana didakwa memfitnahnya.

Ia merujuk kepada kenyataan media dibuat setiausaha akhbar kepada Datuk Seri Najib itu antara 15 April dan 26 April lalu.

Saman itu difailkan di pejabat pendaftar sivil Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma Haniff Katri and Co.

'Cita-cita mahu kuasa'

Kata Tengku Sariffuddin dia berasa hairan apabila Mukhriz memilih untuk menyamannya kerana sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad sering mengadu apabila "undang-undang digunakan" untuk menutup mulut pengkritik Najib.

"Tidak seperti Mahathir, saya tidak pernah membuat sebarang dakwaan liar.

"Komen saya adalah adil berdasarkan kepada tindakan Mahathir, Mukhriz dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (bekas timbalan perdana menteri) yang mengetuai kempen menyingkirkan perdana menteri.

"Mereka adalah pihak berkepentingan dan saya percaya digerakkan oleh cita-cita dan keinginan mendapatkan kuasa," katanya.

Tambah Tengku Sariffuddin ramai berpendapat Mahathir mahu Muhyiddin menjadi proksinya sebagai perdana menteri dengan Mukhriz dijadikan timbalan sehingga bekas menteri besar Kedah itu bersedia mengambil alih.

Katanya, Mahathir juga tahu ada cara lebih pantas untuk menghentikan semua spekulasi mengenai niatnya menggantikan Najib.

"Apa yang perlu dilakukan beliau ialah menamakan siapa yang dimahukannya menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

"Kegagalan berterusan beliau menjawab satu soalan mudah ini menyembunyikan kebenaran (iaitu) matlamat kempen anti-Najib oleh Mahathir adalah cara membuka jalan untuk anaknya," kata Tengku Sariffuddin.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS