Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Terlalu awal untuk kaji semula KDNK - Irwan Serigar
Diterbitkan:  May 4, 2016 5:00 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji semula sasaran keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan defisit fiskal, walaupun harga minyak mentah global telah stabil sekitar US$45 setong dan melepasi paras US$35 yang ditetapkan pada Bajet 2016, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah.

"Ia masih terlalu awal. Kita tidak tahu sama ada harga itu akan kekal stabil. Kita sedang meneliti rapat (pergerakan harga minyak) dan akan mengekalkan sasaran pertumbuhan KDNK.
"Tetapi dari segi defisit fiskal, kita mempunyai sedikit ruang kerana dengan harga minyak yang lebih tinggi kita boleh melaksanakan lebih banyak program dan projek," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Meningkat oleh Malaysia Debt Ventures Bhd., hari ini.
Sementara itu di bawah bajet 2016 yang diubah suai, ekonomi diunjurkan tumbuh di antara 4.0 hingga 4.5 peratus tahun ini, berdasarkan andaian harga minyak berada di antara US$30 dan US$35 setong.
Kerajaan juga merancang untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.1 peratus daripada KDNK berbanding 3.2 peratus tahun lepas.
Mohd Irwan berkata, terdapat banyak faktor mempengaruhi pergerakan harga minyak mentah seperti perkembangan semasa di Amerika Syarikat di mana pengeluar minyak bergegas kembali ke pasaran.
"Kita bimbang (pengeluar) gas shale dan minyak shale akan kembali ke pasaran berikutan harga yang lebih tinggi. Kerajaan tidak akan melaksanakan sebarang langkah rasionalisasi atau rangsangan tahun ini," tambahnya.
Pada sidang akhbar berkenaan, Mohd Irwan juga diminta memberi komen mengenai pelantikan gabenor baharu Bank Negara Malaysia.
Beliau berkata, Datuk Muhammad Ibrahim adalah calon terbaik berikutan statusnya sebagai timbalan gabenor dan telah lama berkhidmat.
Beliau juga menyifatkan Muhammad sebagai pemimpin yang pintar dan berpengetahuan luas dan sering mengemukakan idea bernas yang mampu memenuhi matlamat organisasi itu.
Mohd Irwan berkata, tanpa mengambil kira siapa yang dilantik sebagai gabenor, kerajaan tidak bercadang mengubah dasar-dasar utama bank berkenaan.
Menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang bersara, Muhammad lulusan Harvard akan memegang jawatan itu selama lima tahun mulai 1 Mei lalu.
- Bernama

Lihat Komen
ADS