Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah: Richard Morais akan dipanggil semula
Diterbitkan:  May 4, 2016 8:47 PM
Dikemaskini: 12:53 PM

Datuk Richard Dillan Morais, adik kepada Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya disumbat di dalam tong dram, akan dipanggil semula untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Peguam Datuk N Sivananthan berkata tujuan memanggil semula Richard Morais adalah untuk mengesahkan penerimaan borang daftar kematian dan permit penguburan Kevin Morais daripada Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang ditandatangani Dr Ahmad Hafizam Hasmi pada 22 Oktober 2015.

"Kami memohon supaya pendakwaan memanggil semula (ke mahkamah) Richard Morais mengikut Seksyen 51A (5) Kanun Tatacara Jenayah. Semasa perbicaraan ini, Richard Morais tidak memberitahu mahkamah beliau ada menerima borang ini dan kami (pembelaan) tidak sedar tentang borang ini sehinggalah pagi ini.

"Jadi, kami ingin memohon supaya Richard Morais dipanggil semula ke mahkamah untuk pemeriksaan semula," kata Sivananthan dalam perbicaraan hari kesembilan kes pembunuhan Kevin Morais di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah permohonan itu.

Terdahulu, menjawab soalan Wan Shaharuddin mengenai borang itu, Dr Ahmad Hafizam yang merupakan pakar perubatan forensik Jabatan Perubatan Forensik HKL berkata borang itu ada dikeluarkan pihaknya kepada waris Kevin Morais iaitu Richard Morais.

"Borang JPN.LM02 merupakan borang yang diperlukan waris untuk dihantar ke Jabatan Pendaftaran Negara bagi mendaftarkan kematian seseorang dan JPN akan mengeluarkan sijil kematian," katanya.

Sementara itu semasa pemeriksaan balas Sivananthan mengenai sijil kematian Kevin Morais, Dr Ahmad Hafizam, 37, berkata beliau tidak ditunjukkan sijil itu.

Sivananthan turut memaklumkan pihak pendakwaan tidak mengemukakan sijil kematian itu kepada pihak pembelaan.

Kepada soalan peguam M Manoharan sama ada butiran dalam borang JPN.LM02 adalah benar dan betul, Dr Ahmad Hafizam menjawab "benar dan betul".

Merujuk kepada borang itu, Manoharan mencadangkan tarikh dan waktu kematian Kevin Morais pada "16 September 2015" dan "1 petang" adalah benar dan betul, saksi itu menjawab "tidak benar".

Dalam pemeriksaan semula, Wan Shaharuddin bertanyakan sebab beliau tidak bersetuju dengan tarikh dan waktu kematian yang direkodkan, Dr Ahmad Hafizam menjawab tarikh 16 September 2015 dan 1 petang merupakan tarikh dan waktu mayat didaftarkan di Jabatan Perubatan Forensik.

Saksi itu juga mengekalkan keterangan sebelum ini daripada pakar perunding forensik HKL, Dr Nurliza Abdullah, bahawa sebab kematian Kevin Morais adalah 'probable asphyxiation' (lemas).

Enam lelaki - G Gunasekaran, 48, R Dinishwaran, 24, A K Thinesh Kumar, 23, M Vishwanath, 26, S Nimalan, 23, dan S Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara jam 7 pagi dan 8 malam 4 September 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Kol Dr R Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS