Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Noriah Kasnon, dari peguam ke timbalan menteri

Datuk Noriah Kasnon, 52, yang memulakan kariernya sebagai seorang peguam, mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentabiran kerajaan.

Bermula sebagai setiausaha parlimen Kementerian Penerangan selama empat tahun sejak Mac 2004, Noriah, anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor dinaikkan jawatan kepada timbalan menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat di bawah Kabinet baharu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada April 2009, di bawah pentadbiran baharu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau dilantik sebagai timbalan menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Pada 2012, beliau ditukarkan menjadi timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan setahun kemudian selepas Pilihan Raya Umum 2013, beliau dipindahkan ke Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi hingga sekarang.

Lulusan bidang undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1988, beliau aktif dalam Umno sejak 1992 dan merupakan penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar sejak Pilihan Raya Umum 2004.

Dalam arena politik pula, Noriah pernah menjadi setiausaha Wanita Umno Selangor pada 1992 sebelum dilantik sebagai setiausaha Barisan Nasional Selangor selama empat tahun dari 2000.

Pada 2005, beliau dilantik sebagi pengerusi Biro Penerangan Wanita Umno Selangor dan menjadi anggota jawatankuasa Biro Wanita Umno Malaysia.

Anak kelahiran Tanjung Karang itu mempunyai empat orang anak, dua perempuan dan dua lelaki.

- Bernama

Lihat Komen
ADS