Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemecatan pembebasan buat Husam, kata Pemuda PAS
Diterbitkan:  May 6, 2016 3:27 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Pemuda PAS Kelantan lega dengan keputusan parti itu yang memecat bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pemecatan itu adalah satu pembebasan terhadap Husam yang juga adalah ADUN Salor yang selama ini lantang menentang kepimpinan parti, terutamanya menyerang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Tindakan ini juga tentunya merupakan satu pembebasan terhadap Datuk Husam Musa untuk bergerak melalui wadah yang dipilihnya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jawatankuasa Tatatertib PAS hari ini memecat Husam setelah meneliti aduan salah lakunya itu dan mendapati beliau telah melakukan tindakan serta perbuatan yang menyalahi Fasal 82(1)(b), (c), (d), (e) dan (f), Perlembagaan PAS.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata Pemuda PAS Kelantan, menyokong penuh keputusan Jawatankuasa Tatatertib parti itu.

“Pemuda PAS Kelantan bersyukur kerana kemelut yang melanda parti dan kerajaan negeri akibat tindakan salah seorang wakil rakyat PAS di negeri ini, Datuk Husam Musa yang sering mengkritik parti dan kerajaan berakhir dengan tindakan pemecatan seperti yang diumumkan oleh Jawatankuasa Tatatertib PAS hari ini,” katanya.

Beliau mengajak semua ahli PAS untuk bekerja dan memperkukuhkan jentera parti di semua peringkat di Salor.

Husam, dalam reaksi segeranya berhubung pemecatan itu berkata, beliau ternyata tidak dapat menahan rasa pilu dan sebak selepas dipecat sebagai ahli parti Islam itu.

Ketika hatinya sedang pilu dengan peristiwa kehilangan helikopter di Sarawak, beliau tiba-tiba tidak putus menerima panggilan telefon, kata Husam.

"Menerusi whatssap dan sms, saya dikhabarkan oleh sumber-sumber tidak rasmi, saya telah dipecat dari PAS pada hari ini.

"Tanpa saya sedari, air mata saya menitis. Sebak bercampur pilu," katanya dalam kenyataan, sebentar tadi.

Pengumuman pemecatan Husam dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS, Dr Sanusi Daeng Mariok, hari ini.

Menurut Sanusi, jawatankuasa tatatertib PAS yang bersidang pada 23 April lalu mendapati Husam melakukan tindakan bersalahan dengan perlembagaan parti.

Lihat Komen
ADS