Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengesahkan satu jasad yang ditemui berhampiran serpihan pesawat di Sungai Batang Lupar pada jam 12 tengah hari tadi milik arwah Datuk Noriah Kasnon.

Dalam catatan facebooknya, Rohani memberitahu, beliau kini berada di ibu pejabat polis kontingen Sarawak bagi menyambut ketibaan Noriah.

"Sekarang ini saya berada di IPK Sarawak untuk menyambut jenazah adik saya YB Noriah yang merupakan mangsa pertama eksiden helikopter," katanya.

Difahamkan, beberapa pihak sedang menguruskan kepulangan anak-anak arwah Noriah ke Kuching untuk urusan pengebumiannya.

Anak-anak arwah Noriah diterbangkan dari Lapangan Terbang TUDM Subang ke Kuching dengan menggunakan pesawat khas milik Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Menurut catatan akaun facebook milik Anti Semua Salah UMNO - ASSU, kedua-dua anak arwah bersama menantunya diterbangkan bersama-sama pasukan penyelamat.

"Dua orang anak Datuk Noriah iaitu Syafik dan Adam serta menantu, Farah Nadhirah akan bersama-sama pasukan penyelamat dalam usaha pengecaman dan sebagainya.

"Noriah Kasnon mempunyai empat orang anak, dua perempuan dan dua lelaki.

"Turut menemani mereka di Lapangan Terbang TUDM Subang adalah Datuk Noh Omar dan SUK YB Datuk Noriah iaitu Mhaimin.

"Semoga keluarga arwah terus tabah menghadapi dugaan ini, salam takziah buat keluarga arwah. semoga arwah di tempatkan di kalangan orang2 beriman. Al-Fatihah," katanya.