Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adik: Mayat Kevin tak boleh terus dikebumi kerana keadaan
Diterbitkan:  May 6, 2016 8:00 PM
Dikemaskini: 10:57 PM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa mendiang Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais dibakar sebelum dikebumikan kerana keadaan mayatnya yang sudah terlalu reput dan berbau.

Adik Kevin, Datuk Richard Dilaan Morais, 50, berkata adalah menjadi amalan dalam agama Katolik bahawa mayat dikebumikan dan tidak dibakar.

Bagaimanapun, mayat Kevin tidak dapat terus dikebumikan kerana tiada gereja yang akan membenarkan mayat yang berada dalam keadaan tidak elok dibawa masuk ke dalam premisnya, kata beliau semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk N Sivananthan pada hari ke-11 perbicaraan pembunuhan Kevin Morais.

Enam lelaki - G. Gunasekaran, 48, R. Dinishwaran, 24, A. K. Thinesh Kumar, 23, M. Vishwanath, 26, S. Nimalan, 23, dan S. Ravi Chandaran, 45 - dituduh membunuh Kevin antara 7 pagi dan 8 malam 4 Sept 4, 2015, antara Jalan Dutamas

Raya Sentul dan No. 1, Jalan USJ1/ 6D, Subang Jaya.

Kol Dr R. Kunaseegaran, 53, dituduh bersubahat dengan keenam-enam mereka dalam pembunuhan itu.

Ditanya adakah tiada sesiapa yang tahu punca kematian Kevin pada 16 September 2015, Richard berkata tiada siapa yang tahu mengenainya kerana pada masa itu mayat Kevin dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Richard, saksi pendakwa pertama yang dipanggil semula hari ini untuk memberi keterangan, juga berkata punca kematian Kevin dimaklumkan pada satu perjumpaan di Balai Polis Sentul pada 12 November 2015, yang turut dihadiri dua adiknya, David Ramesh Morais dan Charles Suresh Morais.

Ditanya sama ada mayat Kevin pernah dibawa ke mana-mana gereja, Richard berkata hanya abunya dibawa ke gereja.

Terdahulu, dalam jawapan kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa pada pemeriksaan utama, Richard berkata beliaulah yang menerima sijil mati Kevin kerana beliaulah yang menuntut mayat mendiang.

Katanya, sijil itu dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara di Hospital Kuala Lumpur pada 23 November tahun lepas, hari yang sama beliau menuntut mayat itu.

Beliau juga mengesahkan bahawa punca kematian seperti yang dinyatakan dalam permit pengebumian dan sijil mati ialah kemungkinan disebabkan asfiksiasi (kelemasan).

Sementara itu, V. Davveen - rakan serumah Kevin - memberitahu mahkamah bahawa sebagai timbalan pendakwa raya (DPP) kanan, Kevin terlalu penat dan tidak berminat mengendalikan kes rasuah Kol Dr R. Kunaseegaran di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Jurubank berusia 24 tahun itu yang mengenali Kevin selama kira-kira 10 tahun, memberitahu demikian apabila menjawab soalan DPP Abdul Razak dalam pemeriksaan utama pada hari ke-11 perbicaraan pembunuhan Morais di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Davveen berkata Morais terlalu penat dan kelihatan tidak berminat untuk mengendalikan kes itu (kes rasuah Dr Kunaseegaran).

"Saya tak ingin bercerita secara terperinci. Saya berpendapat disebabkan tertekan dengan kes itu, beliau jatuh sakit... sebab beliau tak mahu kendali kes itu," katanya.

Terdahulu, Davveen memberitahu mahkamah bahawa Morais mengalami tekanan kerana beliau perlu mengendalikan dua kes pada 2015, iaitu perbicaraan Dr Kunaseegaran di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan kes pecah amanah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Ahmad Zubir Mursyid di Mahkamah Sesyen.

Abdul Razak: Mengenai dua kes itu, adakah beliau (Morais) menceritakan masalahnya?

Davveen: Tidak. Beliau terlalu penat dan tidak berminat mengendalikan kes itu.

Abdul Razak: Kes mana?

Davveen: Kes Dr Kuna (Kunaseegaran).

Menurut saksi ke-19 pendakwaan itu, Morais teruja untuk bersara, tetapi kecewa kerana permohonannya (untuk bersara) ditolak.

Ditanya sama ada Morais pernah bersungut tentang kerjanya dan hubungannya dengan orang lain, Davveen berkata: "Beliau lelaki yang tidak mudah didekati. Beliau tidak banyak bercakap dengan sesiapa".

Menerangkan lanjut tentang hari Morais hilang, saksi itu berkata dia mengucapkan selamat jalan kepada rakan serumahnya itu pada kira-kira jam 7.30 pagi dan beranggapan DPP berkenaan memandu Proton Perdana yang disediakan kerajaan.

Kata Davveen, apabila mesej teks yang dihantarnya pada 10 pagi tidak berjawab, dia cuba menghubungi Morais beberapa kali, tetapi tidak berhasil kerana telefon berkenan juga ditutup pada malam itu.

"Memang pelek kerana Morais tidak pernah balik lewat selepas 10 malam. Saya hubungi kawan-kawannya kerana saya diberi arahan supaya menghubungi orang tertentu sekiranya berlaku kecemasan. Dua daripada mereka adalah dari pejabat beliau dan tiga lagi anggota keluarganya iaitu Pria, Anne Louis dan Pamela Gomez," katanya.

Davveen berkata dia menghantar e-mel kepada ketiga-tiga anggota keluarga Morais itu, tetapi hanya Anne yang membalasnya iaitu melalui mesej Twitter.

Menjawab soalan balas peguam Datuk N. Sivananthan, Davveen berkata dia tidak pernah berjumpa adik-adik Morais dan mereka tidak tersenarai sebagai orang yang perlu dihubungi apabila berlaku kecemasan.

Sivananthan: Adakah kamu bercakap dengan Richard (Morais) pada 5 September?

Davveen: Tidak, saya tidak bercakap dengan Richard pada tarikh itu.

Sivananthan: Dalam laporan polis, Richard berkata kamulah yang memaklumkan kepadanya (tentang kehilangan DPP itu).

Davveen: Tidak. Itu tidak benar. Saya bercakap dengan Anne Louis. Dia yang memberitahunya dan kemudian Richard memanggil saya. Itulah kali pertama kami bercakap.

Menjawab soalan seterusnya oleh peguam itu mengenai wasiat DPP berkenaan, Davveen berkata peguam cara Morais di London memberitahunya tentang wasiat berhubung satu hartanah di United Kingdom.

Ditanya sama ada dia mengetahui harta itu dinamakan kepada siapa, saksi berkenaan menjawab: "Saya kira orang itu ialah saya".

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung pada 6 Jun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS