Empat lagi jasad ditemukan hari ini, menjadikan jumlah kematian nahas helikopter di Sarawak Khamis lalu sebanyak lima orang sementara pencarian seorang lagi mangsa diteruskan.

Selain jenazah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon ditemukan semalam, jasad kedua ditemukan pada 8.30 pagi ini di tebing Sungai Batang Lupar kira-kira 15km dari tempat Noriah dijumpai.

Jasad ketiga ditemukan tengah hari tadi kira-kira satu kilometer daripada jenazah Noriah sementara jasad keempat dikesan pada pukul 3.20 petang juga berdekatan jenazah Noriah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan bahawa mayat kedua ialah Datuk Dr Sundaran Annamalai, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman mengenal pasti mayat ketiga sebagai Ahmad Sobri Harun, pengawal peribadi Noriah.

Ketiga-tiga mayat dibawa ke Hospital Umum Sarawak di Kuching, kira-kira 250km dari Lingga.

Mayat Noriah diterbangkan ke Kuala Lumpur malam tadi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12 Sungai Burong, Selangor awal pagi ini.

Noriah menaiki helikopter itu bersama suaminya Asmuni Abdullah, Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Dr Sundaran, Ahmad Sobri dan juruterbang warga Filipina Kapten Rudolf Rex Ragas.

Helikopter itu berlepas dari Betong menghala ke Kuching pada 4.12 petang Khamis tetapi terputus hubungan dan hilang tidak lama selepas itu.

Noriah dan Dr Sundaran berada di Betong untuk tugas kementerian semasa Pilihan Raya negeri Sarawak.