Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Salleh: Keputusan PRN S'wak cermin sentimen umum pengundi
Diterbitkan:  May 9, 2016 6:40 AM
Dikemaskini: 11:47 PM

Keputusan pilihan raya negeri Sarawak ke-11 kelmarin bukan sekadar tentang sebuah pilihan raya negeri, sebaliknya turut mencerminkan sentimen umum pengundi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata mesej yang disampaikan pengundi di Sarawak dalam pilihan raya itu merupakan sentimen yang serupa di seluruh kawasan luar bandar Malaysia, meskipun penduduk bandar di Malaysia mungkin mempunyai pandangan yang sedikit berbeza.

"Sekiranya ia berterusan, maka kita akan melihat kejayaan Sarawak 2016 turut dituruti dalam pilihan raya umum akan datang," katanya dalam catatan blog 'sskeruak.blogspot.my' semalam.

Salleh berkata ada sesetengah pihak berpendapat keputusan pilihan raya negeri Sarawak disebabkan jumlah keluar mengundi yang rendah.

Beliau kemudian melontarkan persoalan bagaimana perkara itu boleh dijadikan faktor utama sedangkan Barisan Nasional memenangi pilihan raya negeri pada 2011 dengan peratusan keluar mengundi yang sama.

"Kita mesti ingat pada 2011, Barisan Nasional menang 77 peratus kerusi berbanding 88 peratus pada kali ini dan ini juga berdasarkan kepada jumlah 70 peratus keluar mengundi. Jadi tentu ada sebab lain selain daripada hanya peratusan keluar mengundi sahaja yang menjadi penyebabnya," katanya.

Salleh berkata satu daripada faktor utama adalah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sendiri malah sehinggakan pembangkang dengan agak keberatan mengakui bahawa mereka kalah disebabkan populariti Adenan.

Kedua-dua pihak bercakap tentang 'Pasukan Adenan', mengakui bahawa ia adalah faktor penentu utama, kata Salleh, dan menambah pembangkang sebaliknya tidak mempunyai pasukan dan mereka berpecah-belah dengan begitu teruk.

"Ketika Barisan Nasional membenarkan anak tempatan Sarawak menguruskan hal ehwal mereka sendiri, pembangkang pula menerima terlalu banyak campurtangan dari Kuala Lumpur sehinggakan pengundi tidak lagi pasti siapa sebenarnya yang berkuasa," katanya.

Tambahan pula, kata Salleh, pengundi ingin tahu siapa yang akan memerintah negeri atau negara ini sekiranya pembangkang menang pilihan raya dan hakikat bahawa pembangkang, sama ada di peringkat negeri atau persekutuan, tidak mempunyai kabinet bayangan, mewujudkan ketidaktentuan di minda pengundi.

Beliau berkata pembangkang tidak berupaya mewujudkan kabinet bayangan disebabkan jika mereka cuba melakukannya, akan berlaku huru-hara apabila bermulanya persaingan sesama sendiri dan perebutan jawatan... dan pengundi sedar tentang perkara ini.

"Ayuh kita akui sahaja bahawa Barisan Nasional di peringkat tempatan dan persekutuan mengadakan kempen yang baik dan ia membuahkan hasil. Pujian harus diberi kepada Pasukan Adenan dan Pasukan Najib," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS