Azmin jangka PRK Sungai Besar sebelum Ramadan
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali menjangkakan pilihan raya kecil Sungai Besar akan diadakan sebelum Ramadan tahun ini iaitu awal Jun depan.
"Saya menjangkakan menyampaikan sijil dan meraikan pemilik rumah bagi mangsa banjir di Kelantan sebelum Ramadan tetapi nampaknya kena tangguh kerana ditakdirkan pilihan raya kecil Sungai Besar akan diadakan sebelum Ramadhan ini," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan jabatan kerajaan negeri di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Aziz Shah pagi ini.
Bagaimanapun, timbalan presiden PKR itu berkata segalanya terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari kekosongan.
"Itu adalah jangkaan saya, dalam mimpi.
"Mereka (SPR) perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari. 60 hari dijangka pada hari kedua atau ke tiga hari raya.
"Saya tidak rasa mereka akan adakan pilihan raya pada hari raya. Berkemungkinan pada semasa atau sebelum bulan puasa," katanya.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon meninggal dunia dalam satu nahas helikopter di Sarawak Khamis lalu.
Tragedi malang itu turut mengorbankan anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar dan empat yang lain.
Berikutan itu, dua pilihan raya kecil akan diadakan bagi mengisi kekosongan dua kerusi berkenaan.
Sementara itu, mengulas ketetapan Pakatan Harapan untuk meletakkan calon di kerusi berkenaan Azmin berkata perkara itu akan dibincangkan.
"Kita akan bincang," katanya ringkas kepada pemberita.

