ULASAN l Dalam perjuangan saya bertanding di kerusi DUN Tarat, saya hilang lebih daripada separuh jumlah undi di kampung saya sendiri.

Saya juga gagal mendapat undi daripada saudara mara dan ahli keluarga sendiri.

Ini tidak mengejutkan kerana ramai yang begitu takut dengan saya kerana kedudukan saya dalam perjuangan politik.

Saya kalah teruk di Dunuk, tempat saya membesar, Bisira - di mana sepupu, anak saudara dan sudah tentu saudara-mara rapat dari pihak ayah saya menetap.

Saya hilang separuh daripada undi di Marakep, tempat asal usul bapa saya.

Saya juga kecundang di semua pusat mengundi luar bandar.

Saya melihat ketakutan dalam diri mereka apabila mereka tidak dibenarkan untuk menggantung poster dan bendera saya.

Saya juga menyaksikan wajah kurang selesa sepupu saya apabila melawatnya untuk meminta bantuan menggantung poster.

Mereka begitu takut dipinggirkan daripada semua habuan dan bantuan yang dihulurkan oleh BN.

Sesungguhnya, kemiskinan tidak mempunyai kuasa untuk membuat perubahan, kerana takut sentiasa adalah musuh untuk melakukan perubahan.

Tidak mampu

Beberapa hari sebelum pilihan raya negeri Sarawak Sabtu lalu, saya ditanya jika saya boleh memberi mereka wang. Ini kerana mereka menjangkakannya daripada BN.

Sejumlah RM30 atau lebih bagi setiap undi, kata mereka, akan mengesahkan undi buat diri saya dalam perjuangan merebut kerusi Tarat.

Saya berkata kepada mereka bahawa saya tidak mampu. Ini kerana saya bertanding dengan dana kecil dari parti dan juga sumbangan belas ihsan daripada kawan-kawan, saudara-mara dan gereja.

Sekumpulan anak-anak muda pula meminta minuman keras dan bir sebagai pertukaran untuk undi mereka.

Seorang lelaki bermata merah dan nafas berbau datang dan memberitahu bahawa saya tidak akan mendapat undinya kerana enggan membelanjanya minuman Tequila Sunrise.

Apa yang saya pasti bahawa saya tidak akan membuat sebarang perubahan jika saya membiarkan mereka untuk berterusan mabuk dan tidak pergi bekerja.

Di satu kampung, saya hanya diberikan kebenaran untuk berada di sana selama 15 minit sahaja tetapi dikenakan syarat saya tidak boleh membawa poster dan bendera saya.

Saya juga diberi amaran keras supaya tidak berkempen kepada rakan-rakan dan saudara-mara saya.

Saya melihat penindasan kuasa, keangkuhan dan langsung tidak ada sebarang hormat kepada politik oleh Umno-BN.

Benci Malaya

Seorang ahli pasukan saya telah diugut dan hampir ditumbuk di mukanya hanya kerana dia adalah orang semenanjung dan membantu kempen saya.

Kami didatangi oleh seorang pembantu ketua kampung yang menghalau kami atas arahan ketuanya.

Katanya, dia benci 'Malaya' kerana isu penggunaan kalimah 'Allah' oleh orang Kristian.

Dia begitu jahil dengan isu sebenar tetapi kami tidak berusaha menerangkannya kerana mukanya begitu marah dan tidak bersedia menerima sebarang penjelasan mahupun pendapat kedua.

Dalam perjalanan pulang ke bilik operasi, seorang lelaki menghalang kami dan hampir menghayunkan satu tumbukan ke arah ahli pasukan saya.

Saya sepatutnya memberi pengundi makanan percuma selama 10 hari dan 10 malam berturut-turut.

Saya sepatutnya membekalkan bir, minuman keras dan daging babi untuk memenangi undi. Tetapi apa perubahan yang mampu saya lakukan dengan perkara ini?

Sepanjang tempoh berkempen, saya nampak ketakutan, penindasan, kejahilan dan kemiskinan sebegitu berleluasa. Begitu juga dengan ketamakan dan keangkuhan.

Kita tak keseorangan

Namun, kami teruskan dengan penuh keberanian dan kasih sayang kerana kami tidak boleh membiarkan mereka begitu sahaja.

Saya percaya 3,024 undi yang saya dapati itu datangnya dari gereja, bekas rakan sekelas, rakan-rakan dan saudara-mara yang menaruh kepercayaan dalam keadilan, kebebasan dan tadbir urus yang baik.

Sehingga itu, saya tidak akan berasa bosan dan hilang kepercayaan ini.

Ini bukan soal pilihan raya itu sendiri, tetapi perjuangan yang panjang yang hanya sebilangan kecil yang mampu bertahan; perjuangan untuk menyemai harapan dan bekerja untuk perubahan.

Saya tidak akan menyerah kalah kepada kejahilan, penindasan, kezaliman dan ketamakan. Ini adalah perjuangan mulia yang perlu kita lalui dalam membawa harapan kepada dunia.

Kasih sayang boleh menjadi begitu menyakitkan, tetapi ia membawa kebaikan kepada mereka yang memberikannya kepada orang lain.

Terima kasih sekali lagi kepada semua pengundi di luar sana yang cukup berani untuk membuat perubahan.

Kami kalah dalam pengundian, tetapi kami menang dengan perintah Tuhan dan integriti warga negara yang baik.

Kamu tidak keseorangan! Tuhan merahmati kamu.


MUSA NGOG, calon PKR DUN Tarat dan seorang jurutera sokongan IT yang menulis di laman Facebook #All4Sarawak.