Salahkan Sarawak yang tak banyak pilihan
ULASAN Keputusan pilihan raya negeri Sarawak semalam boleh memberikan banyak pengajaran kepada BN dan Pakatan Harapan.
Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem telah terbukti popular di kalangan rakyat Sarawak, sesuatu yang tidak asing lagi.
Tetapi memenangi 72 kerusi daripada 82 kerusi adalah suatu pencapaian yang perlu diberi perhatian.
Kita mengucapkan semoga berjaya kepada 10 wakil rakyat HARAPAN dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Semoga ini menjadi pengajaran kepada HARAPAN.
Sementara rakyat di semenanjung mengharapkan sesuatu dapat dilakukan oleh rakyat Sarawak, ternyata tidak banyak pilihan yang ada di tangan rakyat negeri itu.
Tidak ada apa yang dapat diharapkan daripada gabungan parti yang bergaduh sesama sendiri, ego, tidak dapat duduk berbincang untuk hanya menyelesaikan masalah pembahagian kerusi?
Tak banyak pilihan
Apalah yang boleh diharap jika mereka berjaya membentuk sebuah kerajaan?
Pernah kita dengar ketua menteri Pulau Pinang atau menteri besar Selangor mengumumkan projek bantuan untuk rakyat Sarawak jika PKR atau DAP dapat mandat untuk memerintah Sarawak?
Pernah kita dengar Azmin Ali umum pemberian sedikit rizab Selangor yang hampir mencecah RM5 bilion itu sedikit untuk disalurkan kepada rakyat Sarawak?
Ada kita dengar Lim Guan Eng mengumumkan usaha akan dilakukan untuk membawa masuk pelabur ke Sarawak seperti yang dilakukan oleh beliau di Pulau Pinang?
Kita mahu Sarawak bersama kita, tetapi kita tidak mahu berkongsi dengan mereka. Adakah ini rakan kongsi?
Lihatlah BN yang datang dengan pelbagai bantuan, seingat saya sudah lebih RM300 juta dijanjikan untuk bajet pembangunan di Sarawak, tidak termasuk projek Lebuh Raya Pan-Borneo.
Rakyat Sarawak tidak banyak pilihan. Kelemahan dan kepincangan jentera HARAPAN tidak memberikan pilihan kepada rakyat Sarawak.
Kesilapan bersama
Justeru, tidak adil jika meletakkan kesalahan 100 peratus kepada rakyat Sarawak. Kesilapan ini harus ditanggung bersama.
BN bukanlah satu gabungan yang kuat. Sebenarnya BN sudah tenat di Semenanjung. Cuma peluang ini gagal diambil kesempatan oleh HARAPAN di Sarawak.
BN berjaya mengeksploitasi jenama Adenan Satem dengan semaksimum mungkin. Ia ternyata merupakan suatu strategi yang berjaya.
Kemenangan di Sarawak bukanlah kemenangan BN sebenarnya. Kemenangan di Sarawak adalah kemenangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), kendalian Adenan Satem.
Jadi janganlah ada pihak yang cuba mengambil kesempatan mengatakan kemenangan di Sarawak berpunca daripada faktor Datuk Seri Najib Razak. Jangan perasan, ya.
Kita tunggu PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Di sini gelanggang sebenar untuk mengukur sejauh mana polisi pentadbiran Najib diterima oleh rakyat Malaysia.
Dengan hanya kemenangan tipis kedua-dua calon BN dalam pilihan raya yang lalu, kedua-dua kerusi ini dianggap neutral dengan peluang 50-50.
Kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sila umumkan kedua-dua kerusi ini kosong dengan segera! Saya pasti ramai yang sudah tidak sabar lagi mahu mengundi.
MOHAMAD SIDDIQ AZANI seorang peguam di Kuala Lumpur.

