Umno sudah mengenal pasti beberapa individu berpotensi untuk disenaraikan sebagai calon pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak, kata setiausaha agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurutnya, Ibu Pejabat Umno sudah membuat persiapan awal dengan melihat kepada senarai pengundi, kawasan, demografi dan komposisi kaum.

“Kita sudah mulakan di kedua-dua kawasan dan maklumat akan diberikan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pada mesyuarat Majlis Tertinggi yang dijangka hujung bulan ini untuk dibincangkan,” katanya yang dipetik Bernama pada sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.

Kedua-dua kerusi itu kosong berikutan nahas udara Khamis lalu yang mengorbankan enam orang di sungai Batang Lupar, Sarawak.

Mereka yang terbunuh itu termasuk, ahli parlimen Sungai Besar yang juga adalah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Tengku Adnan berkata walaupun perasaan sedih masih menyelubungi seluruh anggota parti, Umno selaku sebuah parti politik perlu sentiasa bersedia menghadapi segala cabaran, termasuk berdepan pilihan raya kecil.

"Mengenai peluang, saya percaya kedua-dua kerusi ini jika dipertandingkan akan kekal atau kembali semula kepada BN," katanya.

Portal rasmi PAS, Harakahdaily, hari ini memetik ketua pengarah pilihan raya parti itu, Datuk Mustafa Ali, mengumumkan bahawa PAS akan bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan.

Katanya, pada pilihan raya umum lalu calon PAS hanya kalah tipis 399 undi di Sungai Besar manakala di Kuala Kangsar pula majoriti calon BN hanya kira-kira 1,000 undi.

Parti sepihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH) pula hanya akan membuat keputusan pada 15 Mei ini, kata presidennya Mohamad Sabu.

Kedua-dua kerusi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah kawasan campuran dengan majoriti Melayu yang secara tradisinya menyaksikan pertarungan antara Umno/BN menentang PAS tetapi kini diintai pula oleh AMANAH.

Sebagai rekod, sejak tiga pilihan raya umum lalu, PAS gagal memenangi kedua-dua kerusi berkenaan.