NGO: Lapor beli undi atau kamu subahat dengan rasuah
Mereka yang mempunyai bukti pembelian undi semasa pilihan raya Sarawak pada 7 Mei lalu perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Jika tidak, Setiausaha Agung Centre For A Better Tomorrow (Cenbet) Khairil Azmie Hasbie berkata, mereka boleh dianggap sengaja membiarkan rasuah.
"Kami menggesa mereka yang mempunyai bukti salah laku seperti itu membuat laporan supaya pihak berkuasa boleh mencari pelaku itu.
"Kegagalan untuk berbuat demikian boleh ditafsirkan sebagai membiarkan rasuah politik dan menggalakkan musuh nombor itu ke dalam masyarakat kita," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menyiasat dakwaan berkenaan kerana pembelian undi adalah melanggar Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Membeli undi melemahkan demokrasi berparlimen yang mana negara ini diasaskan. Amalan ini harus dipatahkan di peringkat awal; ia tidak mempunyai tempat dalam demokrasi yang sihat," katanya.
Gesaan itu muncul selepas pelbagai parti termasuk BN, mendakwa wang diberikan untuk mendapatkan undi.
Sebagai contoh, calon BN untuk Simanggang Francis Harden Hollis dilaporkan berkata pengundi di kawasan itu telah ditawarkan RM100 sebelum mengundi dan RM200 lagi sekiranya beliau kalah.
Francis berjaya mengalahkan calon DAP Leon Jimat Donald, Norina Umoi Utot dari PKR dan calon Bebas Ngu Siew Peng. PKR dan DAP hilang wang pertaruhan manakala Ngu mendapat 33 peratus undi.

