Kakak hidup leukimia, adik derita saraf tunjang mohon bantuan
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang menimpa seorang bapa, Rohfizan Abdul Karim, 38, apabila dua daripada empat orang anaknya masing-masing disahkan leukimia serta penyakit berkaitan saraf tunjang.
Anak keduanya Nur Iman Nasuha, 5, disahkan menghidap leukimia sejak Januari tahun lalu, manakala anak bongsunya Muhammad Fiqri Firdaus, 6 bulan, menderita penyakit saraf tunjang sejak dilahirkan sehingga menyebabkannya mengalami sedikit kecatatan pada bahagian kaki kanan.
Menurut Rohfizan, kehidupan mereka sekeluarga bergantung kepada pendapatannya sebanyak RM350 sebulan yang bekerja sebagai pemotong rumput, manakala isterinya Norfadzillah Pak-Adid, 34, sekadar bekerja sebagai atendan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
"Selain itu kami turut menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM250 sebulan, tapi ia masih tidak mencukupi," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Ipoh hari ini.
Menurut Rohfizan, anaknya Nur Iman Nasuha perlu memakan makanan yang segar dimasak sebanyak lima kali sehari yang memerlukan kos perbelanjaan kira-kira RM20 sehari.
"Mujurlah buat masa ini kos rawatan Nur Iman Nasuha tidak terlalu tinggi sementara Muhammad Fiqri Firdaus pula masih dalam pemerhatian doktor dan akan menjalani rawatan imejan resonans magnetik (MRI) di HRPB dalam tempoh terdekat," katanya.
Rohfizan berharap ada pihak yang sudi membantu meringankan beban yang ditanggung ketika ini kerana dia juga perlu menampung kehidupan serta persekolahan dua lagi anaknya masing masing berusia 11 dan tiga tahun.
Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional, Mohd Rawi Abdullah yang melawat keluarga tersebut hari ini menyampaikan sumbangan berupa barangan makanan serta wang tunai.
"Buat masa ini, bantuan makanan hanya diberi untuk tempoh dua bulan sahaja dan saya merayu sumbangan daripada orang ramai untuk membolehkan dua kanak-kanak malang ini menjalani kehidupan normal," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 820422085352 atau menghubungi Rohfizan di talian 012-4799819 atau datang ke rumah keluarga itu di alamat A-10-2 Pangsapuri Sri Kepayang, Jalan Ghazali Jawi, Ipoh.
- Bernama

