Chin Peng fail satu lagi permohonan untuk hadir perbicaraan
Bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) yang dibubarkan, Chin Peng memfailkan satu lagi permohonan di Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang hari ini, bagi perintah supaya beliau dan bekas ahli PKM lain diberi keizinan menghadiri perbicaraan mengenai permohonan mereka untuk kembali ke negara ini.
Bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) yang dibubarkan, Chin Peng memfailkan satu lagi permohonan di Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang hari ini, bagi perintah supaya beliau dan bekas ahli PKM lain diberi keizinan menghadiri perbicaraan mengenai permohonan mereka untuk kembali ke negara ini.
Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, 82, kini berada di Thailand, memfailkan saman pemula itu bagi pihak dirinya sebagai plaintif pertama dan bekas ahli PKM lain sebagai plaintif melalui peguam Darshan Singh Khaira kira-kira jam 9 pagi.
Bernama melaporkan, saman itu bertujuan supaya beliau dapat menghadiri perbicaraan mengenai permohonannya untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau dan bekas ahli PKM berhak memasuki, bermastautin, berkediaman dan tinggal di Malaysia.
Kesemua plaintif adalah bekas ahli PKM itu, menurut Darshan, turut berada di Thailand.
Pada 4 Mac lalu, Chin Peng menamakan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri; Ketua Polis Negara; Panglima Angkatan Tentera Malaysia; dan kerajaan Malaysia sebagai defendan dan memohon perintah supaya dokumen keizinan dikeluarkan kepadanya dan bekas ahli PKM untuk memasuki Malaysia.
Afidavit itu menyebut adalah perlu plaintif (Ching Peng dan bekas ahli PKM) dibenarkan hadir untuk mengumpul dan memperolehi dokumen lanjut dan juga keterangan saksi di Malaysia untuk membolehkan mereka mendapatkan afidavit dan juga menandakan dokumen-dokumen.
Dua perjanjian
Darshan berkata, ada kemungkinan besar anakguamnya perlu memberi keterangan lisan berkenaan dengan latarbelakang perjanjian dan janji-janji yang diberi oleh pihak defendan.
Perbicaraan yang belum ditetapkan tarikhnya itu, bertujuan membenarkan Ching Peng pulang ke Malaysia dan memohon supaya para defendan mematuhi semua syarat dan terma yang dipersetujui dan terkandung dalam dua perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan PKM bertarikh 2 Disember 1989 di Haadyai, Thailand.
Perjanjian pertama ialah "Agreement Between The Government of Malaysia and The Communist Party of Malaya To Terminate Hostilities" dan perjanjian kedua "Administrative Arrangement Between The Government of Malaysia and The Communist Party of Malaya Pursuant to the Agreement to Terminate Hostilities".
Darshan mendakwa, Chin Peng yang dilahirkan pada 20 Oktober1923 di Sitiawan, Perak tidak pernah dilucutkan kewarganegaraan atau tidak dibuang negeri.
Chin Peng turut diwakili peguam Chan Kok Keong dan Lucia Minta, selain Darshan.

