Jahara nafi kata 'tokong' perlu dirobohkan
Ketua Pembangkang Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid menafikan kenyataan yang mendakwa dirinya mahu ‘tokong’ Tao di Taman Armenia di negeri itu dirobohkan.
Sebaliknya, katanya, beliau hanya mempersoalkan konsep menempatkan tempat beragama di taman awam.
"Saya tidak kata untuk merobohkan kuil itu, tidak juga yang saya maksudkan dengan cara begitu," kata Jahara semasa perbahasan di Dewan Undangan Negeri hari ini.
"Saya hanya bertanya sama ada sesuai untuk tokong berada di taman awam. Saya juga mencadangkan bahawa tempat yang sewajarnya diadakan bagi penganut agama itu beribadah untuk tujuan keselamatan dan pengurusan," katanya.
"Jangan membesar-besarkan apa yang saya katakan apabila saya tidak mempunyai niat untuk merobohkannya."
Jahara memetik Hansard untuk membuktikan bahawa beliau tidak pernah menyebut perkataan "merobohkan" apabila menimbulkan isu itu ketika perbahasan usul terima kasih kepada Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang pada Jumaat lalu.
Di sebalik penjelasannya, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menegaskan bahawa Jahara perlu menarik balik kenyataannya mengenai tempat beribadat itu yang katanya akan menyelesaikan kemelut tersebut.
Beliau kesal dibidas oleh MCA yang menyifatkannya sebagai pengecut kerana tidak mempertahankan hak-hak agama golongan minoriti yang menyembah tokong berkenaan ketika wakil rakyat Umno membangkitkan isu itu.
Mengulas lanjut, Jahara berkta MCA salah faham dengan apa yang beliau katakan kerana laporan media.

