‘Kebencian terhadap Najib dorong Mahathir bertindak sejauh ini’
Seorang pemimpin bahagian Umno adalah yang terbaru untuk menyatakan kekecewaan dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta pengundi menolak BN pada pilihan raya kecil akan datang.
Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengakui bahawa beliau tidak pernah membayangkan bekas perdana menteri itu akan bertindak sejauh itu kerana beliau sejak sekian lama dalam perjuangan Umno.
“Ini barangkali kerana sikap benci beliau terhadap Najib," katanya dalam blog post.
Ketua Umno Cheras itu berkata sesetengah pihak yang berpendapat Mahathir yang juga adalah bekas presiden Umno paling lama dalam sejarah politik tanahair membuat saranan sedemikian kemungkinan terpengaruh dengan elemen peribadi.
Apa pun tanggapannya, Syed Ali berkata, tidak wajar bagi Mahathir untuk berkelakuan seperti "jurucakap" parti pembangkang.
"Saya diberitahu, ramai orang terutama ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi amat kecewa dan tidak senang terhadap perlakuan Dr Mahathir yang menonjolkan diri sebagai jurucakap pembangkang untuk menentang Umno pada pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar," katanya.
Tambahan pula, beliau berkata, setakat ini parti-parti pembangkang tidak pernah mewakilkan kepada Mahathir untuk berkempen untuk mereka di kedua-dua pilihan raya kecil itu.
Syed Ali juga mengingatkan perbuatan seumpama itu dilihat hanya akan merosakkan maruah Mahathir selaku bekas perdana menteri.
"Saya bimbang kelak rakyat akan menuduh Dr Mahathir sebenarnya yang sengaja memusuhi Najib sehingga mahu pengundi menolak Umno sedangkan dalam masa yang sama orang terdekat dengan beliau masih lagi menjadi ahli Umno," katanya.
Beliau yang juga adalah setiausaha badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan juga menyifatkan kenyataan Mahathir itu sebagai hanya pandangan peribadi yang tidak akan mempengaruhi pengundi di kawasan pilihan raya itu.
Menurut Syed Ali, tidak ada sebab untuk pengundi menyokong calon-calon pembangkang kerana dua ahli parlimen Umno yang terbunuh dalam nahas helikopter di Sarawak baru-baru ini adalah pemimpin akar umbi parti yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang menjadi wakil rakyat.
Pilihan raya kecil itu akan diadakan serentak pada 18 Jun, berikutan kematian Datuk Noriah Kason (Ahli Parlimen Sungai Besar) dan Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Kangsar) dalam nahas helikopter di Sarawak.

