Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata tindak-tanduk media Indonesia yang cuba membangkitkan perasaan benci terhadap Malaysia berhubung pertikaian sempadan di Laut Sulawesi "tidak memberi manfaat dan tidak konstruktif".

Beliau yang melahirkan rasa sedihnya dengan perkembangan tersebut, berkata tindakan membangkitkan perasaan dan emosi "bukan caranya jika kita mahu isu tersebut berjaya diselesaikan secara baik".

Menurut Bernama, Syed Hamid akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya Hassann Wirayuda mengenai pertikaian itu di Jakarta esok.

Sambil menegaskan bahawa Malaysia dan Indonesia wajar mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan kontroversi itu menerusi perbincangan, Syed Hamid berkata ia bukannya isu siapa yang akan menang.

"Hubungan dua hala tidak wajar ditentukan oleh sesuatu isu tertentu. Saya rasa hubungan kita lebih mendalam daripada itu," katanya kepada pemberita selepas menghadari satu majlis di Putrajaya.

Syed Hamid berkata Malaysia menganggap hubungan dua halanya dengan Indonesia sangat penting dalam menentukan kesejahteraan keseluruhan rantau ini.

Indonesia membantah langkah Malaysia memberi konsesi blok di Laut Sulawesi kepada Shell dengan mendakwa Blok ND6 dan ND7 adalah dalam perairan Indonesia.

Rundingan dan dialog

Dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono bersetuju supaya diadakan perbincangan segera bagi menyelesaikan perbezaan membabitkan kontroversi sempadan maritim itu.

Syed Hamid menegaskan, kedua-dua pihak perlu bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu itu kerana banyak yang dapat diperoleh jika bekerja bersama-sama, daripada cuba membangkitan perasaan dan emosi.

"Bagi Malaysia, saya rasa kita wajar terus bertenang dan berpegang kepada kepercayaan kita bahawa sebarang perbezaan boleh diselesaikan menerusi rundingan dan dialog," katanya.

Menteri itu berkata setakat yang membabitkan Malaysia, ia akan melindungi kepentingan dan kedaulatannya.

"Kita akan pastikan kedudukan Malaysia diterangkan kepada mereka. Namun ini tidak bermakna bahawa kita mahu berkonfrantasi (dengan Indonesia)," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengemukakan sebarang cadangan kepada rakan sejawatannya esok, Syed Hamid berkata: "Ia bukannya satu rundingan. Saya hanya pergi untuk bertemunya."

Beliau juga berkata Wisma Putra akan memantau rapat sebarang protes di kedutaan Malaysia di Jakarta.