'Bawa kes disiplin ke MT tak langgar perlembagaan parti'
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, keputusan merujuk kes disiplin Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ke Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk tindakan adalah tidak melanggar perlembagaan parti.
Katanya, perkara itu diputuskan selepas Lembaga Disiplin menulis surat kepadanya menyatakan ia 'kes berprofil tinggi' dan memulangkan semula kes tersebut kepada MT untuk tindakan lanjut.
"Sebagai setiausaha agung, saya hanya akan bawakan apa yang telah ditulis kepada saya oleh Lembaga Disiplin iaitu agar perkara ini dirujuk kepada Majlis Tertinggi supaya membuat keputusan.
"Oleh kerana Lembaga Disiplin sendiri tidak mahu mengambil keputusan atas alasan 'kes berprofil tinggi' ... tak kan kita nak diamkan.
“Jadi, sebagai setiausaha agung saya cuma boleh bawa kepada MT untuk tindakan seterusnya," katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa keputusan membawa kes itu kepada MT Umno sebagai melanggar prosedur tatatertib dan perlembagaan parti.
Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata Umno sebagai sebuah parti berstruktur akan sentiasa memastikan tindakan yang diambil adalah mengikut aturan sedia ada.
Selain itu, katanya sebagai bekas timbalan presiden Umno beliau yakin Muhyiddin faham dan tahu tindakan tersebut sama sekali tidak melanggar mana-mana peraturan.
Beliau ditanya sama ada dalam mesyuarat MT Umno yang akan berlangsung pada 27 Mei ini akan memutuskan mengenai kes Muhyiddin dan Mukhriz, katanya tugasnya cuma membawa permintaan Lembaga Disiplin kepada MT, selebihnya terpulang kepada anggota mesyuarat.
Ditanya mengenai tindakan bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta pengundi tidak mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Tengku Adnan berkata, ia sesuatu yang tidak patut dilakukan.
"Kenapa perlu buat begitu ... saya hanya boleh minta beliau (Dr, Mahathir) fikirkan apa yang hendak dicakapkan.
“Jangan membuat kenyataan hingga orang boleh putar belit dan manipulasikan situasi, yang akhirnya akan merugikan BN, parti yang pernah memberinya kuasa untuk mentadbir negara lebih 20 tahun," beliau dilaporkan sebagai berkata.

