Daftar Kanak-Kanak yang merekodkan semua kesalahan jenayah terhadap kanak-kanak termasuk kesalahan seks boleh diakses bagi tujuan saringan, kata Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim.

"Maklumat mengenai pesalah ini boleh diakses dengan kelulusan ketua pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya untuk saringan bagi pihak yang berurusan atau mengendalikan kanak-kanak.

"Antaranya seperti pemandu bas/van sekolah, pengusaha kantin sekolah, tukang kebun, pengawal keselamatan sekolah, pengasuh dan pekerja pusat jagaan kanak-kanak," katanya bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Menurutnya, Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 yang dibentangkan sebelum ini memperluaskan kandungan daftar termasuk butir-butir mereka yang disabitkan atas kesalahan jenayah melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa.

"Kandungan daftar ditambah untuk mengandungi maklumat individu yang disabitkan kesalahan jenayah melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa. 

"Bagi kes-kes jenayah contohnya kes rogol yang melibatkan mangsa kanak-kanak, pihak jabatan kebajikan Masyarakat akan menyimpan maklumat tentang mangsa dan pelaku," katanya.