Parti utama BN di Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berpotensi melebarkan pengaruh politiknya di negera itu selepas tiga wakil rakyat memohon untuk menyertainya, menurut laporan Borneo Post.

Tiga wakil rakyat itu yang dahulunya adalah ahli Parti Rakyat Bersatu (UPP) ialah Jerip Susil, Ranum Mina and Johnical Rayong, yang bertanding dalam pilihan raya negeri 7 Mei itu sebagai calon langsung BN.

Ini susulan tindakan enam wakil rakyat memohon untuk menyertai PBB sejurus selepas pilihan raya negeri itu.

Jika PBB menerima permohonan tersebut, ia akan menguasai 49 daripada 69 kerusi dalam dewan undangan negeri.

Mengesahkan permohonan baru itu, Setiausaha Eksekutif PBB, Awang Bujang Awang Antek berkata, parti itu akan membuat keputusan pada mesyuarat majlis tertingginya 5 Jun ini.

“Mereka (bekas ahli UPP) kata sebab utama memohon (sertai PBB) ialah mengukuhkan perjuangan politik supaya boleh berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik,” Awang Bujang dipetik sebagai berkata.

“Bagi PBB, pintu kami sentiasa terbuka untuk mereka yang mahu berjuang demi parti. Lagipun, kami tidak boleh menutup pintu kepada mereka yang memerlukan platform tulen untuk berkhidmat kepada rakyat,” tambah beliau.

Enam wakil rakyat lain yang memohon sebelum ini ialah William Mawan Ikom (Pakan) dari Teras, Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (Batu Danau), serta bekas ahli PBB, Gerawat Gala (Mulu), Miro Simuh (Serembu) dan John Ilus (Bukit Semuja).

[Baca berita penuh]