Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kembiri perogol di Indonesia cetuskan debat
Diterbitkan:  May 26, 2016 5:42 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

GLOBAL Pelaksanaan hukuman lebih berat kepada perogol kanak-kanak, termasuk kembiri secara kimia dan hukuman mati kepada pesalah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat Indonesia.

Anggota Suruhanjaya III Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Nasir Djamil berpendapat hukuman kembiri terhadap perogol kanak-kanak tidak memadai, sebaliknya penjenayah berkenaan sepatutnya dijatuhi hukuman lebih berat dengan hukuman mati.

Katanya, hukuman kembiri yang mungkin tidak kekal akan menimbulkan persoalan terhadap keberkesanannya, termasuk persoalan dari sudut hak asasi berkaitan biologi manusia.

Komisi Nasional Perempuan pula berkata, hukuman kembiri tidak selaras dengan program revolusi mental dan mengganggapnya sebagai undang-undang kolot.

Salah seorang ketuanya, Mariana Amiruddin berkata, undang-undang tersebut tidak mampu mengubah mental penjenayah dan tidak akan menyelesaikan masalah.

"Saya melihat undang-undang itu masih konvensional dan kolot. Belum ada sesuatu yang baru. Ini seperti membuat undang-undang hanya untuk menakutkan orang, bukan menyelesaikan persoalan kekerasan seksual, bukan cara berfikir yang sejalan dengan revolusi mental," ujar Mariana dilaporkan Kompas.com.

Masyarakat Pemantau Keadilan Indonesia Fakulti Undang-Undang Universiti Indonesia (MaPPI FHUI) pula menyatakan hukuman berat seumpama itu menunjukkan kelemahan 
pemerintah menangani jenayah kekerasan seksual.

Koordinator Reformasi Sistem Keadilan Jenayah MaPPI FHUI, Anugerah Rizki Akbari berkata, pencegahan kekerasan seksual secara komprehensif tidak cukup dengan hanya menambah hukuman terhadap pesalah.

Wakil DPR Fahri Hamzah pula mengkritik peraturan berkenaan yang disifatkan hanya memfokuskan hukuman berat kepada penjenayah rogol.

Fahri berkata kes kekerasan seksual sejak kebelakangan ini terjadi akibat pelbagai faktor seperti perkembangan teknologi dan perbuatan menonton video lucah. Justeru katanya, pemerintah harus menyelesaikan isu-isu seperti itu terlebih dahulu.

Desakan hukuman lebih berat terhadap perogol berikutan kejadian pelajar berumur 14 tahun yang dikenali sebagai Yuyun dirogol 14 lelaki dan dibunuh ketika pulang dari sekolah di Bengkulu, Sumatera, bulan lalu.

Minggu lalu, masyarakat Indonesia sekali lagi digemparkan dengan kes pembunuhan Enna, gadis berusia 18 tahun yang dirogol tiga lelaki dan dibunuh dengan kemaluannya dirodok dengan hulu cangkul.

Susulan itu Presiden Indonesia Jokowi Widodo semalam mengumumkan pelaksanaan hukuman lebih berat kepada perogol kanak-kanak, termasuk kembiri secara kimia dan hukuman mati.

Lihat Komen
ADS