Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu tanah sekolah: Cukup-cukuplah berpolitik, Guan Eng - Umno
Diterbitkan:  May 26, 2016 6:11 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Pemuda Umno Pulau Pinang mendesak agar kerajaan negeri itu mengenepikan perbezaan politik dan tidak memperjudikan masa hadapan anak bangsa dalam soal pendidikan.

Ketuanya, Rafizal Abdul Rahim berkata, janganlah kerana terlalu ingin menunjuk kuasa, DAP sanggup memperjudikan segala perkara sehinggakan kepentingan masa hadapan anak bangsa turut menjadi mangsa.

"Tindakan sedemikian seakan-akan mahu menyusahkan proses pembinaan sekolah apabila tidak lagi mengikut kaedah lama yang lebih baik," katanya, memetik laporan oleh Umno Online.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) yang mahu tanah yang diberikan kepada pemaju untuk pembinaan sekolah diserahkan kepada kerajaan negeri dan bukannya kepada Kementerian Pendidikan.

Menurut kaedah lama, pihak pemaju menyediakan tapak sekolah rendah dan sekolah menengah di sesuatu kawasan projek perumahan dan kemudiannya menyerahkan tapak itu kepada Kementerian Pendidikan.

Rasional di sebalik tindakan itu ialah pemaju menyerahkan tapak itu kepada Kementerian Pendidikan yang bertanggungjawab menyediakan sekolah-sekolah seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimana, kerajaan negeri Pulau Pinang mahu mengubah kaedah itu dengan pemaju perlu menyerahkan tanah projek sekolah kepada kerajaan negeri dan bukannya kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab mengenai pendidikan.

Ia dikatakan mendatangkan masalah kerana pendidikan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan manakala tanah yang diserah oleh pemaju itu diserahkan kepada kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Rafizal berkata, tindakan SPC itu boleh dilihat sebagai mahu melakukan sabotaj pembangunan pendidikan yang dilakukan oleh kerajaan Persekutuan.

“Adakah kerajaan negeri ini tidak memikirkan masa hadapan anak bangsa di negeri ini sehingga sanggup mempolitikkan hal yang membabitkan kepentingan pendidikan.

“Oleh itu, Pemuda Umno Pulau Pinang mahu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memperjelaskan isu ini agar ia tidak berlarutan dan menyebabkan kesukaran Kementerian Pendidikan untuk membina sekolah di Pulau Pinang,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS