Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usul hudud: Kurup, Wanita MCA sama-sama terkejut

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Joseph Kurup yang bertanggung jawab dalam hal perpaduan di negara ini melahirkan rasa terkejut dengan cadangan pembentangan semula rang undang-undang persendirian mengenai hudud.

"Saya terperanjat," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, sebentar tadi sebagai mengulas cadangan pembentangan semula rang undang-undang oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

"Kami (ahli-ahli parlimen) seharusnya diberikan peluang untuk membaca rang undang-undang itu sewajarnya... sebab itulah ia ditangguhkan," katanya.

"Kalau ia diranapkan, itu isu yang berbeza," tambahnya.

Kerajaan hari ini memberi keutamaan kepada rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta 355 dan menjadualkannya untuk perbahasan di Dewan Rakyat, awal petang tadi.

Walau bagaimanapun, Hadi meminta agar ia ditangguhkan ke sesi akan datang dan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia bersetuju dengannya.

Cadangan untuk membawa usul Hadi ke hadapan dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Jika rang undang-undang hudud itu diluluskan, ini akan merintis jalan untuk pelaksanaannya di Kelantan.

Dewan Undangan Negeri Kelantan telah meluluskan rang undang-undang untuk melaksanakan hudud tahun lalu dengan semua 44 ADUN mengundi menyokongnya.

Mengulas lanjut, Kurup berkata, beliau harus membaca rang undang-undang itu sebelum membuat apa-apa keputusan.

Keadaan yang sama turut dirasai oleh Ketua Wanita MCA, Heng Seai Kie yang mendakwa turut terkejut dengan cadangan pembentangan rang undang-undang tersebut.

"Kami telah mengadakan mesyuarat majlis presiden MCA dan jelas bahawa kami menentang hudud. Pendirian kami masih sama," jelas beliau.

 

Lihat Komen
ADS