Paling Popular
Terkini

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yakin calon Barisan Nasional (BN) mampu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.
    
"Kami boleh menang. Tapi kami perlu bekerja keras, saya yakin kami boleh," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Anugerah Khidmat Cemerlang Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Kuala Lumpur hari ini.
    
Ditanya sama ada beliau akan turun padang membantu kempen PRK itu, Tun Abdullah berkata: "Kita akan bantu. Tengoklah macam mana nanti. Insya-Allah."
    
Pada majlis itu, Tun Abdullah yang juga Pengerusi IKIM turut menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang 2015 dan Anugerah Pekerja Setia 2016 kepada 17 kakitangan IKIM.
    
Turut hadir Ketua Pengarah IKIM, Prof Datin Dr Azizan Baharuddin. 
    
PRK Sungai Besar di Selangor dan Kuala Kangsar di Perak akan diadakan serentak pada 18 Jun ini dan penamaan calon pada 5 Jun.

Kedua-dua PRK itu diadakan berikutan kematian Anggota Parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, korban nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.
    
Sementara itu, ketika diminta mengulas pembentangan usul Rang Undang-Undang Persendirian mengenai Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat Khamis lepas, Azizan berkata IKIM akan membantu memberi kefahaman kepada orang ramai berhubung perkara itu.
    
"Kami sedang memerhati dan mengkaji kerana ia baru sahaja dibentangkan. Kami tidak mahu memberi maklumat tidak tepat kepada pihak yang mungkin tidak faham mengenai rang undang-undang ini," katanya.
    
-Bernama

Lihat Komen
ADS