Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Jika semalam pemuda PAS menarik perhatian ramai dengan pakaian yang istimewa, hari ini ada lagi kejutan di persidangan tahunan pergerakan itu.

Pagi ini Muktamar Pemuda PAS di Kota Bharu dikejutkan dengan majlis sambutan hari lahir untuk Timbalan Pengerusi Tetap Dr Riduan Mohd Nor.

Kejutan itu diumumkan oleh Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari yang bangun untuk mengemukakan usul.

Beliau berkata, usul tersebut adalah "tergempar dan penting".

"‎Saya ingin mengingatkan rakan-rakan perjuangan mengenai peristiwa penting dalam sejarah susur galur Pemuda PAS hari ini.

"Usul ini agak penting untuk dibentangkan hari ini iaitu peristiwa bersejarah pada 1 jun 1971 iaitu kelahiran Ahmad Riduan," katanya disambut dengan laungan takbir perwakilan.

Susulan kejutan tersebut, Pemuda PAS menghadiahkan sebiji kek kepada Riduan dan acara pemotongan kek tersebut terus dijalankan diiringi lagu "Allah Selamatkan Kamu".

‎"Terima kasih kepada teman-teman, rasa terharu pula. Rasa semakin tua untuk berada di kalangan teman-teman," kata Riduan sebelum menyambung tugasnya mempengerusikan perjalanan muktamar.

Muktamar Pemuda PAS hari ini memasuki hari kedua dan terakhir sebelum berlangsung Muktamar PAS Pusat, esok.

Program hari ini antaranya mengesahkan laporan kewangan berakhir 31 Disember 2015 , perbahasan usul dan ucapan penangguhan perwakilan negeri dan ketua Pemuda PAS.

Lihat Komen
ADS