Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hudud kini dipolitikkan, kata pakar undang-undang

Kerajaan seharusnya tidak berpura-pura mahu melaksanakan hudud di negara ini tetapi mengeluarkan peruntukan hukuman mati daripada undang-undang Islam itu, kata pakar undang-undang Universiti Emory.

Menurut Prof Abdullahi A An Na’im dengan mengecualian hukuman itu daripada undang-undang hudud, isu berkenaan dilihat sudah dipolitikkan.

“Teks (yang dibentang di parlimen) boleh menjatuhkan apa-apa hukuman yang dibenarkan oleh hukum syarak.

“Saya berasa pelik kamu berpura-pura mahu melaksanakan hudud (tetapi) kamu tidak masukkan hukuman mati atas sebab-sebab politik. 

"(Hanya) kerana orang (lain) tidak memahami (pelaksanaan) hukuman mati (dalam hudud), jadi kamu keluarkan ia (daripada usul dibentangkan di parlimen).

“Jadi kamu takrifkan hudud dan wujudkan ia demi kepentingan politik sendiri,” katanya dalam wawancara di Hotel Concord Kuala Lumpur sebentar tadi.

Abdullahi membuat wawancara itu bersama kumpulan G25.

Minggu lalu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat selepas dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Rashid Shirlin.

Lindungi negara sendiri

Ia mendorong tindak balas segera daripada pelbagai parti komponen BN seperti MCA, MIC, Gerakan dan SUPP, yang membidas langkah itu.

Rang undang-undang itu bertujuan untuk meminda undang-undang persekutuan, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan dilihat memberi laluan kepada pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan dan negeri lain.

Abdullahi berkata beliau melihat kerajaan negara ini mahu menjadikan Islam ekstremis suatu budaya secara senyap-senyap.

Beliau turut bimbang sekiranya rakyat di negara ini tidak menyedari ia sedang menular dan pada suatu hari nanti kesannya tidak boleh dibayangkan.

“Islamisasi makin berkembang. Kamu tidak dapat melihat atau merasainya sekarang, dan satu hari nanti baru kamu sedar dan mendapati kamu dalam keadaan lebih Islam daripada yang pernah kamum bayangkan.

“Itulah sebabnya saya rasa menyelinapkan hukuman syariah dalam sistem ini undang-undang negara ini sebagai tidak Islamik.

“Jika kamu ingin buat, buatlah secara terbuka dan dengan kefahaman jelas (supaya) orang boleh berdebat, menerima atau menolak secara bebas. Tetapi untuk menyelinap seperti ini, ia akan wujudkan suasana baru,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya mempertahankan negara ini seperti apa yang mereka ingini.

“Rakyat Malaysia perlu berjuang untuk menentukan negara dan melindungi negara yang mereka mahu untuk didiami ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS