Raja-raja Melayu tidak akan hampakan rakyat Malaysia, kata Dr M
Tun Dr Mahathir Mohamad percaya raja-raja Melayu akan campur tangan untuk menghentikan dakwaan "salah guna kuasa" oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Ia boleh berlaku walaupun tiada peruntukan dalam undang-undang yang membenarkan campur tangan sedemikian, jelas bekas perdana menteri keempat itu.
"Ada jalan dan cara untuk raja-raja Melayu menyelamatkan negara ini dari salah guna kuasa oleh Najib.
"Rakyat mahu raja-raja selamatkan Malaysia. Saya pasti raja-raja tidak akan hampakan mereka," kata beliau dalam catatan di blognya, hari ini.
Kerana itu, Deklarasi Rakyat, yang dilaporkan mendapat lebih sejuta tanda tangan, dihantar kepada raja-raja, katanya.
Namun begitu, isu sokongan rakyat terhadap deklarasi itu baru-baru ini tercalar apabila seorang pengaturcara komputer bebas mendakwa beliau ditipu dalam penjualan 900,000 nama untuk menipu tandatangan.
Ratusan ribu nama itu datangnya dari pangkalan data yang dibekalkan kepada semua parti-parti politik pada pilihan raya umum ke-13.

