Sultan Selangor titah jangan salahguna pingat
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan rakyat negeri itu agar mematuhi Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salah Guna) (Pindaan) 2016 yang diluluskan kerajaan negeri pada 1 April lepas.
Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais dalam satu kenyataan berkata titah itu dikeluarkan baginda setelah mempengerusikan sidang Mesyuarat Dewan Diraja Selangor ke-143 pada 30 Mei lepas.
"Baginda telah menitahkan agar rakyat di negeri ini menghindari segala larangan yang termaktub dalam Enakmen bagi mengelak tindakan denda yang lebih berat atau penjara atau kedua-duanya sekali yang sekarang telah dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa.
"Baginda juga mahukan rakyat mematuhi setiap undang-undang di negara ini untuk mengelakkan permasalahan agar masyarakat kita yang berbilang kaum dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni," kata Hanafisah.
Dewan Undangan Negeri Selangor pada 1 April lepas meluluskan pindaan Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salah Guna) 1962 bagi menangani perbuatan dan pemakaian darjah kebesaran tanpa pengiktirafan Sultan Selangor.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan pindaan itu berkata ia dibuat berikutan enakmen sebelum ini hanya mengenakan denda RM1,000 yang disifatkan sangat rendah terhadap individu dan pihak yang menyalahgunakan bintang dan darjah kebesaran Sultan Selangor.
Beliau berkata hukuman yang patut dikenakan di bawah enakmen pindaan itu ialah denda antara RM100,000 hingga RM200,000 atau hukuman penjara tiga tahun sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 283 Kanun Tatacara Jenayah.
-Bernama

