Pelarian Rohingya yang ditahan sewaktu mengadakan bantahan di luar pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur minggu lalu, mendakwa, kad UNHCR yang mengiktiraf mereka sebagai pelarian, telah dirampas oleh pegawai Jabatan Imigresen.

Jurucakap mereka, Hafiz Mohd Motul, ketika dihubungi hari ini di Kem Imigresen Semenyih, melahirkan kebimbangannya berhubung perkara tersebut.

"Jumaat lalu, pegawai Imigresen telah menyoal kami, mengambil kenyataan dari kami dan turut mengambil kad UNHCR yang mengiktiraf kami sebagai orang pelarian. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada kami sekarang," katanya.

Dokumen tersebut satu-satu dokumen sah yang mereka miliki dikeluarkan oleh UNHCR kepada mereka yang diiktiraf oleh agensi antarabangsa itu sebagai orang pelarian dan sudah disenaraikan untuk ditempatkan semula di negara ketiga.

Seramai 24 pelarian Rohingya itu, termasuk wanita dan kanak-kanak, mengadakan bantahan di luar pejabat UNHCR Isnin lalu kerana marah dengan kelewatan mereka ditempatkan semula di negara ketiga. Seorang daripada mereka mendakwa sudah menunggu selama 14 tahun.

Mereka ditahan pihak Imigresen ketika sedang mengadakan bantahan selama lapan jam itu, di mana orang dewasanya turut mengadakan mogok lapar.

Kerana terdesak

Mereka mendakwa terpaksa berbuat demikian kerana terdesak selepas gagal mendapatkan pekerjaan untuk menyara keluarga dan menghantar anak-anak ke sekolah, di samping sentiasa hidup dalam ketakutan ditangkap dan dihantar pulang ke negara asal mereka.

Ketika ditangkap oleh pihak Imigresen, kesemua mereka memiliki dokumen orang pelarian yang dikeluarkan oleh UNHCR.

Badan-badan hak asasi manusia mengutuk penahanan itu kerana mereka memiliki surat perlindungan dari UNHCR yang mengiktiraf mereka sebagai golongan yang lari daripada penindasan di tanahair mereka.

UNHCR bagaimanapun menafikan dakwaan mereka itu serta menyalahkan negara-negara ketiga yang enggan menerima pelarian Rohingya.

Negara-negara ketiga yang menerima orang pelarian yang dilindungi oleh UNHCR ialah Kanada, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan United Kingdom.

Kerajaan Malaysia mengumumkan Oktober lalu bahawa pelarian Rohingya akan diberi permit permastautin sementara. Bagaimanapun, sehingga hari ini, ianya belum menjadi kenyataan.

Tiga orang hilang

Sementara itu, Hafiz berkata tiga daripada mereka yang ditahan sewaktu mengadakan bantahan tersebut, tidak dibawa ke Kem Tahanan Semenyih dan tidak diketahui di mana mereka sekarang.

"Kami telah bertanya tetapi kami tidak tahu di mana mereka atau ke mana mereka dibawa. Seorang wanita dan dua anaknya hilang manakala suaminya serta dua anak lelakinya berada di bersama kami di sini," tambahnya.

Ketika dihubungi kemudiannya, wakil UNHCR di Malaysia, Volker Turk menyifatkannya sebagai serius sekiranya benar dakwaan yang dibuat oleh pelarian Rohingya itu.

Beliau berkata, pihak akan menyiasat dakwaan tersebut, sambil menambah, bahawa agensinya ada menyimpan maklumat peribadi mengenai pelarian yang menerima perlindungannya.

"Kami juga telah memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai senarai nama mereka yang ditahan dan mendapat perlindungan kami. Kami telahpun diberitahu bahawa pihak berkuasa akan mengambil masa dua minggu untuk menyiasatnya," tegas Turk

Tambahnya, UNHCR akan menunggu hasil siasatan itu dan apakah tuduhan, jika ada, yang dikenakan terhadap mereka yang ditahan, sebelum mengambil langkah selanjutnya.

Biasanya, mereka yang terbabit termasuk pelarian akan didakwa, sama ada berkumpul secara haram ataupun mengikut undang-undang imigresen kerana masuk secara haram.

Pelarian Rohingya tidak memiliki pasport atau dokumen kerakyatan dan mereka tidak diterima oleh kerajaan tentera Burma sebagai rakyat negara itu.

Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 Bangsa-bangsa Bersatu bagi melindingi pelarian dan pencari suaka.

Jabatan Imigresen tidak dapat dihubungi berhubung perkara tersebut.