Pada bulan Ogos tahun ini, rakyat Pulau Pinang akan menikmati perpustakaan digital pertama seumpamanya, hasil
ilham kerajaan negeri bersama dua syarikat swasta.

Projek bernilai RM2.5 juta itu akan disokong oleh TIME dotCom, dengan kerjasama oleh Keysight Technologies dan Eastern & Oriental Bhd.

Ia akan terletak di bangunan PUSPANITA berdekatan Penang Free School.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, projek itu adalah yang pertama seumpamanya di pulau berkenaan dan juga seluruh negara.

Beliau merumuskan ia sebagai “penemuan teknologi" untuk kerajaan negeri Pulau Pinang, walaupun boleh dianggap biasa di kebanyakan negara barat.

Pada sidang media di Komtar, Lim berkata : “Ia adalah usaha pemangkin untuk menawarkan lebih banyak pilihan dan kepelbagaian untuk rakyat negeri ini.

“Ia menyediakan akses berstruktur kepada pengguna yang mencari maklumat dan ilmu pengetahuan menerusi tawaran lebih 3,000 e-book, e-majalah dan jurnal rujukan,” katanya lagi.

Ditanya jika buku-buku yang diharamkan boleh dijumpai di perpustakaan tersebut, Lim menambah, pihaknya mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

TIME dotCom telah bersetuju untuk menyediakan 100mbps untuk 24 bulan bagi kegunaan perpustakaan digital itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya.

[Baca berita asal]