Pengarah pilihan raya PAS Datuk Mustafa Ali memberitahu, parti Islam itu akan meneruskan kerjasama politik bersama PKR seperti yang diputuskan dalam muktamar tahun lalu.

Menjawab soalan, beliau juga menjelaskan, kerjasama bersama PKR akan diteruskan sehingga pilihan raya umum ke-14.

"Ya, hubungan dengan PKR masih lagi berjalan. Walaupun berlaku (usul putus hubungan), tak jadi masalah.

"(Akan) kekal (sehingga pilihan raya umum) sebab ini merupakan keputusan muktamar yang lepas.

“Sehingga ini tak ada keputusan sebaliknya. Jadi kita kekal terus dengan PKR," katanya ketika ditanya pemberita sama ada kerjasama itu akan kekal hingga pilihan raya depan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Muktamar Tahunan PAS kali ke-62 di Kelantan hari ini.

Muktamar Muslimat PAS kelmarin mengusulkan supaya Majlis Syura parti itu mengkaji untuk memutuskan hubungan dengan PKR pula.

Mustafa berkata, usul Dewan Muslimat itu timbul disebabkan kurangnya 'pengetahuan' pihak berkenaan dalam isu tersebut.

"Dia (pihak kemuka usul) tak tahu banyak perkara, dia tengok begitu sahaja. Kalau secara keseluruhannya, benda yang positif (bersama PKR) masih banyak.

"Itu usul (muktamar) Muslimat sahaja, bukan muktamar Pusat.

"Banyak perkara masih mereka tak tahu. Banyak cara, kaedahnya. Ini bukan masalah besar, masalah kecil sahaja," katanya lagi.

Sementara itu, ditanya bila Majlis Syura akan bermesyuarat mengenai usul berkenaan, Mustafa hanya berkata perkara itu tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa.

"Tak perlu tergesa-gesa. Apa yang tengah berjalan akan terus berjalan. Tak ada masalah," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Takiyudin Hassan pula menjelaskan, usul berkenaan berbeza dengan usul untuk memutuskan hubungan DAP seperti tahun lalu.

Jelasnya, usul yang dibawa Dewan Muslimat Kedah itu meminta supaya PAS mengkaji semula kerjasama politik dan ia perlu dilihat daripada sudut positif.

"Yang (usul) DAP itu ke arah memutuskan hubungan. Ini bukan ke arah memutuskan hubungan tapi ke arah penambahbaikan.

"Kita tengok ada benda yang tak jelas untuk perkara ini, ada benda yang perlu dibaiki. Kita akan tengok perkara ini dari sudut positif," katanya.