Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rondaan bersama PDRM dan ATM dilipat ganda
Diterbitkan:  Jun 3, 2016 3:58 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Rondaan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditingkatkan dua kali ganda tahun ini secara berperingkat bagi mencegah jenayah dan meningkatkan kawalan keselamatan negara.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata operasi bersama di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu akan melibatkan penambahan anggota dan kawasan rondaan di sekitar Lembah Klang.

Pada masa sama, pihak ATM turut mengkaji keperluan meluaskan kawasan rondaan di luar kawasan Lembah Klang, katanya kepada pemberita semasa diminta mengulas mengenai rondaan bersama itu di ibunegara.

Terdahulu, beliau melancarkan Tabung Ihya Ramadan ATM di Bilik Rawatan Islam Ibnu Sina dan Pusat Kaunseling Islam Al-Ghazali di Masjid Khalid Al Walid hari ini.

Zulkifeli bagaimanapun menegaskan peningkatan rondaan bersama ATM dan PDRM bukan bermaksud negara kini berdepan ancaman pengganas yang serius.

"(Rondaan) ini dilakukan bagi mencegah jenayah, kita tidak hendak bila perkara itu sudah berlaku, baru diambil tindakan...pihak pengganas bila melihat ada kerjasama (ATM dan PDRM) ini, dia akan berfikir banyak kali," katanya.

Zulkifeli juga berkata orang ramai memberi maklum balas positif terhadap inisiatif NBOS itu.

"Selepas beberapa bulan insiatif ini dijalankan, masyarakat dapat melihat akan faedah rondaan ini...kita dapat bantu PDRM tentukan kadar jenayah berkurangan.

"Jadi, dengan adanya kerjasama bersama ATM maka PDRM dapat mengadakan rondaan lebih berkesan kerana anggota lebih ramai dan kawasan rondaan jenayah dapat diperluaskan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS