Lelaki ditahan menyamar 'Datuk Seri' dari Jabatan Imigresen
Selepas dua tahun mengelakkan diri daripada dikesan, seorang lelaki yang sering menyamar 'Datuk Seri' daripada Jabatan Imigresen untuk menipu mangsa, akhirnya ditahan.
Suspek berusia 53 tahun yang menyamar sebagai 'Datuk Seri Chong Man Kok' ditahan ketika cuba memperdayakan pengurus restoran yang ingin memperbaharui permit kerja pekerja asingnya, Selasa lepas.
Ini adalah kali kedua lelaki itu ditahan polis kerana menyamar sebagai kakitangan Jabatan Imigresen, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah dalam sidang media semalam.
"Suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang sama melibatkan 10 kes ketika usianya 29 tahun dan pernah ditahan pada 1992. Dia juga dikehendaki polis sejak dua tahun lepas kerana terlibat dengan kesalahan jenayah yang sama di daerah Ampang," katanya.
Zainol berkata suspek dilaporkan kerap menipu dengan menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen untuk menawarkan perkhidmatan pembaharuan permit kerja warga asing.
"Suspek ditahan di Bukit Bintang pukul 2 petang Selasa lepas, dengan berpakaian jaket korporat Kementerian Dalam Negeri dan hasil pemeriksaan mendapati suspek turut mempunyai kad nama Jabatan Imigresen palsu.
"Hasil pemeriksaan mendapati suspek menggunakan nama Yang Berhormat Datuk Seri Chong Man Kok pada kad nama jabatan yang palsu itu bagi meyakinkan mangsa," katanya sambil menambah polis turut merampas wang tunai RM663 daripada suspek.
Zainol berkata modus operandi suspek ialah dengan menyamar sebagai pegawai jabatan berkenaan, dan berkeliaran di sekitar pejabat Imigresen Putrajaya dan Bukit Bintang untuk mencari majikan yang ingin melakukan pembaharuan permit.
Namun setelah memperoleh wang bayaran, suspek akan menghilangkan diri tanpa memproses urusan berkenaan, katanya.
Beliau berkata suspek menawarkan perkhidmatan untuk memproses pembaharuan permit kerja dengan harga bayaran antara RM600 hingga RM2,000.
"Polis percaya masih ramai mangsa telah ditipu dan meminta mereka yang pernah menjadi mangsa suspek itu untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
- Bernama

