'Kenapa perlu potong kalau ada insulin?'
Pesakit kencing manis tidak perlu mengambil jalan keluar dengan memotong anggota badan dalam zaman moden ini, kata Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang.
Beliau mengingatkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya mengenai pelaksaan undang-undang hudud untuk mengurangkan jenayah.
"Amputasi (kaedah potong tangan) bukan satu-satunya ubat untuk diabetes. Terdapat ubat-ubatan lain kini termasuk insulin. Kita perlu bergerak dengan masa," tulisTan Keng Liang di Twitter beliau.
Beliau mengulas dakwaan Hadi malam tadi bahawa hudud adalah satu-satunya cara untuk membendung jenayah, seperti pemotongan kaki perlu untuk menyelamatkan nyawa pesakit kencing manis.
"Tidak begitu ramai orang kini memerlukan amputasi untuk kencing manis. Terdapat ubat-ubatan baru yang boleh menghalang itu (jangkitan). Beginilah bagaimana kamu melihat sesuatu. Bersikap terbuka," kata Tan dalam twitter sebagai respon kenyataan Hadi.
Tan juga bertanya sekiranya Hadi mengalami penyakit lain, apakah doktor juga akan membuang bahagian badan tanpa mempertimbangkan akibatnya.
"Saya mempunyai pankreatitis akut. Jika doktor saya menggunakan analogi Hadi, beliau hanya akan mengeluarkan pankreas saya. Tak perlu untuk membolehkan ia sembuh," katanya.
Desakan PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan muncul semula menjelang dua pilihan raya kecil, selepas Hadi membawa usul Rang Undang-Undang persendirian untuk meminda Akta 355 Mahkamah Syariah.
Walaupun parti-parti bukan Islam dalam BN menentang RUU itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said semalam mendedahkan arahan itu datang daripada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri .

